Oleh: Shahaniza Shamsuddin
Tanjong Malim, 21 Julai 2024 – Kursus Basic Occupational First Aid, CPR, dan AED yang dianjurkan oleh National Child Development Research Centre (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan pada dua siri berturut-turut. Siri pertama berlangsung pada 13 dan 14 Julai, manakala siri kedua diadakan pada 20 dan 21 Julai. Kursus ini telah dikendalikan oleh pihak Life Saving Pro, sebuah organisasi yang pakar dalam bidang keselamatan dan pertolongan cemas.
Kursus persijilan profesional ini dilaksanakan bertujuan meningkatkan kesedaran dan kemahiran peserta dalam memberikan pertolongan cemas di tempat kerja. Dengan menekankan kepada teknik Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED), kursus ini dapat membantu kakitangan NCDRC terutamanya yang berkhidmat di TASKA dan TADIKA sebagai usaha memberikan pertolongan awal dalam situasi kecemasan lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai topik penting termasuk asas pertolongan cemas, teknik CPR dan penggunaan AED yang betul dan efektif, pengurusan kecederaan termasuk langkah-langkah yang perlu diambil dalam menguruskan pelbagai jenis kecederaan seperti luka, patah tulang, dan lain-lain lagi. Bagi memastikan peserta mampu menghadapi situasi sebenar, mereka telah diberi pendedahan dan pemahaman melalui simulasi pertolongan cemas.
Pada akhir kursus, peserta yang berjaya menamatkan latihan akan menerima sijil pengiktirafan sebagai ‘First Aider’. Ini melayakkan mereka untuk bertindak sebagai pemberi pertolongan cemas di tempat kerja masing-masing. Pengiktirafan ini penting dalam memenuhi keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Selain kakitangan NCDRC, kursus ini turut menerima sambutan dengan penyertaan daripada pendidik Sekolah Rendah Seri Budiman. Para peserta memberikan maklum balas positif dan rata-rata menyatakan bahawa mereka kini lebih yakin dan bersedia untuk bertindak dalam situasi kecemasan di tempat kerja.
Salah seorang peserta, Zuhal Saari, menyatakan, “Kursus ini sangat berguna dan telah memberikan beliau keyakinan untuk bertindak segera jika berlaku kecemasan. Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pembantu Penyediaan Makanan berkata, tugas-tugas yang dilaksanakan di dapur lebih mudah terdedah kepada kemalangan terutamanya yang melibatkan, bahan panas, elektrik, peralatan tajam dan lain-lain. Tambah beliau lagi, Teknik CPR dan penggunaan AED yang diajarkan amat mudah difahami dan dipraktikkan.”
Rabi’Atul Adawiyyah Ali berkata, “Sebagai seorang guru, saya sering berinteraksi dengan ramai orang, terutamanya kanak-kanak yang mungkin memerlukan bantuan perubatan. Kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada bahaya seperti tercekik, luka dan sebagainya. Kursus ini memberi keyakinan kepada saya untuk mengendalikan situasi kecemasan dengan lebih baik. Pengajar sangat baik dalam menerangkan bahan dan menyediakan latihan praktikal yang realistik”.
Menurut Timbalan Pengarah (Akademik dan Perkembangan Kanak-kanak), Kursus Basic Occupational First Aid, CPR, dan AED bukan sahaja memberikan pengetahuan teori, tetapi juga kemahiran praktikal yang sangat berguna dalam kehidupan seharian. Komitmen peserta menunjukkan betapa pentingnya kursus ini dalam meningkatkan kesediaan dan tindak balas terhadap kecemasan perubatan di tempat kerja. Pihak pengurusan NCDRC amat berharap dengan kejayaan penganjuran kursus ini, diharapkan lebih ramai individu dan organisasi akan mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran pertolongan cemas di tempat kerja masing-masing, demi keselamatan dan kesejahteraan semua.
NCDRC UPSI dan Life Saving Pro komited untuk terus menganjurkan kursus-kursus seumpama ini di masa hadapan. Mereka percaya bahawa dengan meningkatkan kemahiran pertolongan cemas di kalangan pekerja, risiko kecederaan serius dan kematian di tempat kerja dapat dikurangkan secara signifikan. Melalui program-program latihan ini, NCDRC UPSI berharap dapat menyumbang kepada pembinaan budaya kerja yang lebih selamat dan sihat di Malaysia. Kursus ini juga seiring dengan usaha kerajaan dalam mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh negara.