oleh: Mohd Fadhli Rosli

JERANTUT – Dalam usaha membentuk generasi pemimpin yang berdaya saing dan berintegriti, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) menganjurkan program Kursus Pengurusan Organisasi di Taman Negara, Pahang pada 09 hingga 11 Ogos 2024.

Kursus ini disertai oleh 25 pelajar dari barisan Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) Sidang 2024/2025.

Program yang bertemakan ‘Kepimpinan Dinamik, Masa Depan Progresif’ ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kemahiran kepimpinan, komunikasi, dan kerja berpasukan.

Turut sama dalam program ini ialah pengetua, staf pentadbiran serta 14 felo UKLK yang berperanan membantu dalam melancarkan lagi perjalanan program ini.

Pengetua UKLK, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob dalam ucapannya menyatakan, “Kepimpinan bukan hanya tentang memimpin orang lain, tetapi juga tentang membentuk diri sendiri. Kami ingin melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga mampu memimpin dengan bijaksana dan bertanggungjawab.”

Pengetua UKLK menyampaikan amanat di dalam program.

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang program, termasuk aktiviti ketahanan fizikal seperti Rapid Shoot, Jungle Trekking dan aktiviti menaiki jambatan gantung yang membantu pelajar menerapkan semangat kerjasama dan berpasukan dalam kepimpinan.

Aktiviti Jungle Trekking

Selain itu, sesi analisis SWOT juga diadakan bertujuan membantu pelajar merangka strategi yang lebih mantap dalam memastikan MMKLK terus relevan dan berfungsi dengan efektif.

Pengarah program merangkap ketua felo UKLK, Puan Nor Hayati Aziz menyatakan, “Kursus ini memberikan banyak perspektif baru tentang kepimpinan masa kini. Para peserta dapat belajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan berkesan dan membina hubungan yang baik dengan rakan-rakan. Ini adalah pengalaman yang sangat berharga.”

Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang menggariskan tentang keperluan untuk melahirkan pelajar holistik yang mempunyai sifat dan karakter yang unggul, berketerampilan, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Program ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam mendidik generasi muda, yang diharapkan dapat menggalakkan mereka untuk mengambil peranan aktif dalam masyarakat dan menjadi pemimpin yang membawa perubahan positif.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)