Oleh: Nur Izzah Aziemah Mohd Shuhaimi

Kuala Kubu Bharu, 6 Julai- Persatuan Mahasiswa Sains Pertanian (PERSSAP) bersama dengan penasihat En. Muhamad Azizi  Mohamed Amin yang dipimpin oleh saudari Nur Izzah Aziemah binti Mohd Shuhaimi selaku pengarah program telah menganjurkan program yang diberi nama MOTHER NATURE’S LANDSCAPE DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI yang berlangsung selama 2 hari bertempat di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Kerjasama di antara pihak penduduk komuniti Orang Asli dan pihak PERSSAP menunjukkan keharmonian sekaligus memberikan impak yang positif kepada kedua-dua belah pihak.

Program ini disertai oleh 25 orang pelajar UPSI dan penduduk setempat Kampung Orang Asli Pertak serta diiringi oleh seorang pegawai pengiring termasuk En Muhamad Azizi bin Mohamed Amin selaku penasihat program bagi menjayakan program tersebut.

AJK pelaksana dan penduduk komuniti melakukan aktiviti program
AJK pelaksana menanam anak pokok di kawasan terpilih
 
AJK pelaksana dan penduduk komuniti melakukan aktiviti mengecat dewan

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penduduk dan pelajar terhadap amalan kelestarian alam sekitar melalui beberapa aktiviti yang dijalankan serta mewujudkan persekitaran yang menarik dan kondusif untuk kegunaan masyarakat setempat.

Seterusnya, para pelajar UPSI diberi peluang untuk mempelajari tentang kehidupan, adat dan budaya di samping merapatkan jurang di antara pelajar dan penduduk komuniti dengan memupuk sifat saling menolong dan bekerjasama di antara kedua-dua pihak.

Oleh hal yang demikian, program ini juga dapat memberi peluang pembelajaran praktikal kepada pelajar UPSI dalam bidang landskap, seni bina dan kelestarian alam sekitar.

AJK pelaksana dan penduduk komuniti telah berkumpul di dewan terbuka yang berada di kawasan tersebut. Ketibaan AJK pelaksana disambut oleh penduduk komuniti dengan sesi beramah mesra.

Aktiviti dimulakan dengan pembahagian kumpulan yang merangkumi AJK pelaksana dan penduduk komuniti agar gerak kerja tugasan untuk aktiviti program berlangsung dengan jayanya.

Aktiviti ini dimulakan dengan penerangan setiap tugasan daripada AJK Aktiviti dan Peralatan.

Seterusnya, pembahagian kumpulan yang merangkumi AJK pelaksana dan penduduk komuniti telah dipecahkan kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai aktiviti masing- masing iaitu membersih dan menghias kawasan, menanam anak pokok, dan mengecat bangunan kawasan yang terpilih. Implikasi daripada aktiviti tersebut ialah AJK pelaksana mendapat peluang dengan lebih dekat untuk berkomunikasi dengan penduduk setempat.

Akhirnya, kawasan yang dijadikan pemilihan tempat untuk melaksanakan aktiviti ini berubah menjadi ceria dan indah.

AJK pelaksana dan penduduk komuniti melakukan aktiviti membaling mudball

Aktiviti ini diteruskan lagi dengan mengecat dewan terbuka serbaguna. Dewan terbuka serbaguna ini merupakan bangunan utama yang menjadi tumpuan kepada penduduk komuniti serta orang luar yang mendatangi perkampungan Orang Asli tersebut.

Oleh hal yang demikian, aktiviti ini dapat membantu penduduk komuniti untuk memberikan nafas segar dan imej baharu kepada dewan terbuka serbaguna tersebut. Seterusnya, suasana dewan yang sebelum ini suram telah bertukar menjadi ceria setelah dicat oleh AJK pelaksana dan penduduk komuniti. Jelaslah di sini bahawa pelajar UPSI terutamanya pihak PERSSAP telah meninggalkan kenangan dan jasa yang baik untuk tatapan penduduk komuniti serta pengunjungnya.

Aktiviti ini dimulakan dengan memberi penerangan tentang pembuatan mudball kepada penduduk komuniti. Mudball adalah bola lumpur yang mengandungi campuran tanah liat, tanah, dan mikroorganisma efektif (EM). Kebiasaannya, larutan EM diperbuat daripada campuran molase (sirap tebu) dan air yang diaktifkan dengan mikroorganisma efektif.

Daripada campuran tersebut beserta tanah liat dan tanah, bentukkan ia menjadi seperti bebola kecil berdiameter sekitar 5-7 cm. Biarkan mudball kering di bawah matahari selama beberapa hari sehingga ia menjadi keras. Oleh sebab proses mudball mengambil masa yang lama, maka AJK pelaksana telah menyediakannya sebelum hari program agar dapat ditunjukkan mudball yang sudah siap kepada penduduk komuniti.

Mudball digunakan untuk memperbaiki kualiti air di sungai dengan mengurangkan bahan organik dan pencemaran air. Kesimpulannya, mudball adalah teknologi ekologi yang mudah dan efektif untuk memperbaiki kualiti air dan mengekalkan keseimbangan ekosistem akuatik serta dapat menyelesaikan masalah pencemaran air.

Sesi fotografi AJK pelaksana bersama dengan Tok Batin

Program ini diakhiri dengan majlis penutupan. Majlis penutupan ini dihadiri oleh En. Muhamad Azizi bin Mohamed Amin selaku penasihat persatuan, En. Ali A/L Cahpik selaku Tok Batin Kampung Orang Asli Pertak, AJK pelaksana, dan penduduk komuniti.

Penyampaian sijil dan cenderahati oleh En. Muhamad Azizi kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Pertak En. Ali

Majlis penutupan dimulakan dengan ucapan daripada En. Ali seterusnya pengarah program kemudian diakhiri dengan ucapan oleh En. Muhamad Azizi. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada Tok Batin di atas kerjasama yang diberikan. Majlis penutupan diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenangan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)