Oleh: Afiqah Ibrahim
Ho Chi Minh City, 10 Ogos – Elemen kesukanan merupakan simbolik kepada penyatupaduan negara melalui jalinan integrasi yang utuh.
Program delegasi dilihat berupaya sebagai medan penyatuan bangsa yang dikemas dalam ikatan semarak kesukanan mempamerkan semangat kerjasama dan interaksi sosial antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang.
Kegiatan ini bukan sekadar menggalakkan semangat persaingan yang sihat tetapi juga memperkukuh hubungan diplomatik dan persahabatan antara negara.
Bagi merealisasikan semangat perpaduan merentasi sempadan, delegasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid(MMKHAR) sidang 2023/2024 dengan kerjasama Office of International Affairs, Ho Chi Minh University of Technology (HCMUTE) menganjurkan Leisure Time with HCMUTE x UPSI.
Program ini melibatkan penyertaan antara mahasiswa HCMUTE dan mahasiswa UPSI.
Penganjuran program ini bertujuan bagi mewujudkan hubungan yang baik di antara mahasiswa Malaysia dan mahasiswa Vietnam.
Aktiviti yang berlangsung pada hari kedua program Outreach UPSI to Vietnam 2024 ini dihiasi dengan permainan tradisional Vietnam melalui aktiviti explorace menjadi medan pembangunan kemahiran komunikasi serta kerjasama dalam konteks antarabangsa.
Turut hadir bersama, Dr. Che Anuar Che Abdullah selaku Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). “Program bertaraf antarabangsa ini dilihat mampu melahirkan kolaboratif yang mapan antara mahasiswa dari dalam negara dengan mahasiswa dari negara serantau. Aktiviti sebegini ini amat berkesan untuk melestarikan budaya perpaduan dan persefahaman lintas negara,” katanya.
Dr. Tran Quang Tri yang merupakan Timbalan Pengarah Office of International Affairs berkesempatan memberikan ucapan jutaan terima kasih kepada perwakilan mahasiswa UPSI di samping mengharapkan ikatan silaturrahim yang berkekalan.
“Terima kasih UPSI atas kerjasama dan kesudian memilih institusi kami sebagai medium penyatuan mahasiswa berbilang negara. Semoga ini menjadi langkah pertama bagi mewujudkan kolaborasi pada masa akan datang dan kami sentiasa menantikan kunjungan warga UPSI ke bumi Vietnam,” ucapnya.
Menurut saudara Muhamad Norhakim Mohd Kidam, pengarah program Outreach UPSI to Vietnam 2024, “program seperti ini wajar untuk diteruskan bagi memupuk semangat perpaduan antara negara melalui aspek kesukanan serta beliau berharap agar semua peserta setiap aktiviti yang telah dilaksanakan ini memberikan satu perubahan baharu melalui semangat kerjasama kepada semua mahasiswa.”
Mahasiswa UPSI telah dibahagikan ke dalam empat buah kumpulan kecil sebelum aktiviti explorace yang dikendalikan oleh mahasiswa HCMUTE bermula. Jaringan komunikasi antara mahasiswa dari kedua buah universiti ini dapat ditingkatkan menerusi penyelesaian tugasan di setiap stesen yang melibatkan permainan tradisional negara Vietnam. Setiap kumpulan juga dinamakan dengan jenis-jenis makanan yang terdapat di negara ini.
UPSI akan terus menjadi medan penyatuan serta persefahaman dalam jalinan komuniti dan antarabangsa. Aktiviti berbentuk kesukanan akan terus diperkasa dan universiti akan sentiasa menyokong penganjuran program silang budaya yang membawa keharmonian dan kebanggaan buat negara Malaysia. Pihak penganjur membawa harapan besar agar program sebegini dapat dikekalkan dan mampu memberi kesan baik serta nilai tambah dalam diri para peserta.