Oleh: Norrulkamari Daud & Afiqah Ibrahim
Ho Chi Minh, Vietnam – Delegasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang disertai oleh Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) sidang 2023/2024 bersama tiga orang pengurusan kolej ke negara Vietnam hasil kerjasama yang baik antara Education Malaysia of Vietnam dan juga Aamiin Tour Travel Agency dalam menjayakan program Outreach UPSI to Vietnam 2024 selama 5 hari ini iaitu bermula 9 hingga 13 Ogos lalu.
Antara salah satu aktiviti yang ingin diketengahkan melalui program delegasi ini ialah Cultural Discovery Tour. Aktiviti ini merupakan program yang berkonsepkan kesenian dan kebudayaan yang bertujuan untuk meluaskan pemahaman, meningkatkan pengetahuan dan memberi pengalaman kepada peserta deligasi program tentang kepelbagaian budaya serta tradisi dari pelbagai lapisan masyarakat negara Asia Timur Tenggara itu. Setiap negara pasti memiliki budaya dan keunikannya tersendiri. Begitu juga di Vietnam, kebudayaan adalah cerminan atau simbolik kepada cara hidup, nilai-nilai, bahasa, seni dan tradisi yang diamalkan kesinambungannya dalam satu generasi ke satu generasi berikutnya.
Cultural Discovery Tour banyak memberi pendedahan kepada peserta delegasi dengan mengenali beberapa kawasan sekitar bandar Ho Chi Minh, Vietnam. Tempat pertama yang dilawati iaitu Saigon Central Post Office, di Ho Chi Minh, Vietnam. Sejarah tentang bangunan pejabat pos ni ialah ianya dibina ketika Vietnam masih sebahagian daripada IndoChina Perancis pada akhir abad ke-19 sekitar tahun 1886-1891. Di dalam pejabat pos ini terdapat dua peta besar yang ditampal di bahagian kiri dan kanan dinding bangunan. Peta yang pertama ialah peta Vietnam Selatan dan Kemboja yang diterjemah tajuknya kepada “Telegraphic lines of Southern Vietnam and Cambodia 1892”. Manakala peta kedua memaparkan peta daerah Saigon yang diterjemah tajuknya kepada “Saigon and its surroundings 1892”.
Di dalam bangunan itu juga, urusan pos masih berjalan seperti biasa. Para pengunjung yang datang boleh menikmati keunikan hasil senibina bangunan ini dengan selesa. Terdapat juga poskad percuma disediakan. Di bahagian tepi pejabat terdapat deretan kedai yang menjual pelbagai jenis cenderamata, kraftangan dan aksesori dan perhiasan untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan. Sebelum meninggalkan tempat tersebut, sempat juga deligasi bersama-sama bergambar di hadapan bangunan walaupun cuaca sangat panas dan terik.
Bersebelahan Pejabat Pos Saigon itu, kami juga sempat melewati Ho Chi Minh City Book Street yang merupakan salah satu jalan tertua yang ada di Vietnam. Pada masa penjajahan Prancis, jalanan ini dikenali nama Hong Kong Street. Setelah beberapa kali berganti nama, jalanan ini bernama Nguyen Van Binh Book Street sejak 4 Julai 2000. Namun tetap saja jalan ini lebih dikenali sebagai Ho Chi Minh City Book Street sebagai bentuk penghormatan dan kekaguman terhadap Presiden Vietnam, Ho Chi Minh.
Selain daripada itu, tempat seterusnya yang paling menarik iaitu Konsulat Jeneral Malaysia (Consulate General of Malaysia) yang terletak juga di Ho Chi Minh City. Konsulat jeneral ini telah ditubuhkan sebagai pejabat Konsulat Malaysia pada Mac 1991 dan telah dinaikkan taraf kepada Konsulat Jeneral Malaysia pada tahun 1992. Agensi-agensi Kerajaan Malaysia lain yang turut beroperasi di Ho Chi Minh City ialah Matrade dan Pejabat Education Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Setibanya kami di sini, Dr Azriey Mazlan, sebagai konsul bahagian pendidikan di Consulate General of Malaysia menyambut kedatangan kami dengan penuh gembira kerana deligasi ini akhirnya berjaya tiba jua di kedutaan ini berjumpa dengan beliau sendiri, tambahan beliau juga adalah warganegara Malaysia. Menurut beliau, hingga setakat ini, deligasi kamilah yang pertama kalinya UPSI tiba di Consulate General of Malaysia ini walaupun belia juga pernah datang ke UPSI sebelum ini. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan beliau kepada pengarah program dan peserta deligasi atas kejayaan pelaksanaan program yang dilihat mampu memberikan impak yang baik khususnya buat mahasiswa/i UPSI untuk melanjutkan pengajian di luar negara khususnya Vietnam.
Sebagai ketua deligasi Program ini, Pengetua Kolej KHAR iaitu Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah turut memberi sedikit ucapan dan terima kasih kepada pihak kedutaan Malaysia atas penerimaan mereka terhadap kedatangan kami ke situ. Peluang sebegini sukar didapati memandangkan Consulate General of Malaysia bukan tempat perlancongan tetapi peluang diberi atas urusan kerjasama yang dijalinkan, tambahnya lagi.
Selaku pengarah program Outreach UPSI to Vietnam 2024, Muhamad Norhakim Mohd Kidam berkata “menerusi aktiviti Cutural Discovery Tour, para peserta berpeluang untuk mempelajari keindahan seni dan warisan budaya kedua-dua negara, Malaysia dan Vietnam. Para peserta berpeluang untuk menyaksikan dan merasai sendiri kepelbagaian serta variasi budaya yang wujud, secara tidak langsung mampu mengukuhkan lagi hubungan yang erat antara kedua-dua buah negara.” Tempat terakhir yang kami lawati sepanjang Cultural Discovery Tour di Vietnam ini ialah Muzium Bandar Ho Chi Minh yang terletak di persimpangan Jalan Ly Tu Trong dan Nam Ky Khoi Nghia, Ho Chi Minh City. Muzium ini mula dibina pada tahun 1885 yang direka khas oleh arkitek Perancis iaitu Alfred Foulhoux asalnya dirancang untuk menjadi Muzium Perdagangan. Bagaimanapun ia telah dijadikan kediaman rasmi Governor Cochinchina setelah pembinaannya siap. Ketika Perang Dunia ke-2, bangunan ini telah dijadikan kediaman Govenor Jepun pula pada tahun 1945. Selepas pengunduran Jepun, bangunan ini ditawan oleh Viet Minh dan kemudiannya diambil alih oleh Pasukan Berikat (Allied Forces). Ia kemudiannya dijadikan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Perancis di Indochina.
Pada tahun 1954 pula ia dijadikan kediaman rasmi Perdana Menteri Republik Vietnam dan dinamakan Gia Long Palace. Kemudian dari tahun 1966 hinggalah 1975, Mahkamah Agung Republik Vietnam telah ditempatkan disini, sehinggalah pada tahun 1978, Mahkamah Agung telah dipindahkan dan bangunan ini dijadikan Muzium Bandar Ho Chi Minh. Muzium ini mempamerkan tema-tema seperti Arkeologi, Pelabuhan Perdagangan, Industri, Kraftangan, Kebudayaan, Revolusi Rakyat dan Matawang. Apa yang menarik minat kami adalah Tema Revolusi Rakyat yang menunjukkan perjuangan rakyat Vietnam dalam mencapai kebebasan dari cengkaman penjajah.
Kepelbagaian seni dan budaya mewarnai sesebuah negara menerusi keindahannya. Delegasi UPSI dapat menimba pengalaman baru dan secara tidak langsung turut dapat menambahkan pengetahuan sedia ada mengenai kesenian dan kebudayaan yang terdapat di negara Vietnam. Melalui pelbagai tempat menarik yang dilawati bersama, semua peserta deligasi sangat seronok dan banyak pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi bersama. Semoga segala apa dipelajari sepanjang deligasi ini, dapat memberi peluang kepada mahasiswa/i UPSI mendapatkan pembelajaran melalui pembelajaran secara langsung.