Oleh: Afifah Adriana Aznan
Slim River, 10 Ogos – Dalam usaha mencegah penyebaran wabak denggi, mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menyertai aktiviti gotong-royong anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Slim River pada hujung minggu lalu.
Sebagai langkah proaktif dalam mencegah wabak denggi yang semakin membimbangkan, seramai 21 orang mahasiswa UPSI terlibat dalam program ini. Program gotong-royong yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari ini bertujuan untuk membersihkan kawasan persekitaran dari potensi tempat pembiakan nyamuk aedes.


Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, antara aktiviti yang dilakukan termasuk pembersihan longkang, pengumpulan sampah dan pemeriksaan kawasan-kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.
“Dalam suasana masyarakat majmuk di Malaysia, aktiviti gotong-royong seperti ini mampu mewujudkan persefahaman antara kaum melalui semangat bantu-membantu dan bekerjasama. Bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kerja yang berat boleh menjadi mudah jika dilakukan bersama-sama.” ujarnya lagi.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin memuji inisiatif kerjasama ini dan berharap aktiviti ini dapat meningkatkan kesedaran serta menggalakkan lebih ramai pihak untuk turut serta dalam usaha mencegah denggi.


Kerjasama ini bukan sahaja membantu membersihkan kawasan, tetapi juga mempereratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat serta menjadi platform mewujudkan keharmonian kaum menerusi aktiviti bersama.

Pengerusi KRT Slim River, Encik Ahmad Shahrir Shafiae berkata aktiviti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk melibatkan komuniti dalam pencegahan penyakit denggi.

Kerjasama dengan UPSI memberikan sokongan tambahan dan memudahkan usaha pembersihan yang lebih menyeluruh dan berharap agar usaha seperti ini dapat diteruskan dan menjadi contoh kepada kawasan lain dalam menangani isu kesihatan awam dengan lebih efektif.