Oleh: Nor Hayati Aziz

Riau, Sumatera Barat – Program Mobiliti Outbound Peringkat ke-3 Ulul Albab baru-baru ini menyaksikan para pelajar dan pendidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melaksanakan program akademik yang penuh bermakna ke beberapa institusi pendidikan ternama di Indonesia.

Lawatan ini tidak hanya memberi peluang untuk mempelajari pendekatan dan modul pendidikan di dua pesantren terkemuka, tetapi juga membuka ruang untuk berkongsi dan meningkatkan pengetahuan yang berasaskan Al-Quran, Ensiklopedik, dan Ijtihadik.

Delegasi bersama Kepala Sekolah Pesantren Gontor Putri (7)
Sesi pembelajaran dalam kelas di Pesantren Gontor Putri (7)
Sesi penerangan oleh seorang guru daripada Pesantren Gontor mengenai sistem pendidikan yang digunakan di sekolah

Program bermula dengan lawatan ke Pondok Modern Darussalam Gontor PutriKampus 7, Kampar, Riau, yang terkenal dengan modul pendidikan yang berasaskan disiplin, tazkiyah (penyucian jiwa) dan ukhuwah (persaudaraan).

Pesantren ini menggunakan pendekatan komprehensif yang menggabungkan elemen tradisional dengan metodologi moden. Kurikulum mereka merangkumi pelbagai bidang ilmu seperti tafsir, hadis, fikah, sains, dan teknologi, yang bertujuan untuk membina pemikiran ensiklopedik dalam kalangan pelajar.

Gambar bersama Kepala sekolah Pesantren Gontor Putri (7) di hadapan kelas
Pihak pusat Ulul Albab dialu-alukan kedatangan ke Pesantren Dar El Hikmah oleh Kepala Sekolah
Penerangan kepada Delegasi Ulul Albab UPSI oleh Wakil Pesantren Dar El Hikmah

Pendekatan ini memberi inspirasi kepada pelajar UPSI untuk memahami pentingnya integrasi ilmu agama dan sains dalam membina minda yang holistik dan berpandangan jauh.

Seterusnya, lawatan diteruskan  ke Pondok Pesantren Dar-El-Hikmah, Pekanbaru, di mana para peserta didedahkan kepada modul pendidikan yang menggabungkan pengajian agama dengan kurikulum umum.

Sesi penyampaian modul QEI oleh peserta peringkat 3 yang terdiri dalam kalangan ahli KeSUA di Pesantren Dar El Hikmah
Sesi penyampaian modul QEI oleh peserta peringkat 3 yang terdiri dalam kalangan ahli KeSUA di Pesantren Dar El Hikmah
Sesi penyampaian modul QEI oleh peserta peringkat 3 yang terdiri dalam kalangan ahli KeSUA di Pesantren Dar El Hikmah

Pendekatan holistik yang diterapkan di pesantren ini menekankan pembentukan karakter yang kuat berasaskan ajaran Al-Quran sambil memberikan penekanan kepada ilmu duniawi.

Para pelajar UPSI berpeluang menyaksikan bagaimana pelajar di Dar-El-Hikmah diajar untuk menghafaz Al-Quran sambil menyeimbangkan pengajian akademik mereka, satu kaedah yang mampu melahirkan generasi Ulul Albab yang unggul.

Program ini turut diselitkan dengan kuliah jemputan oleh Pengarah Ulul Albab, Dr. Sakinah di Fakulti Psikologi, Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau.

Gambar beramai-ramai sewaktu majlis penutupan di Pesantren Dar El Hikmah
Kuliah jemputan oleh Pengarah Ulul Albab, Dr. Sakinah di Fakulti Psikologi, Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau.

Kuliah ini membincangkan aspek psikologi pendidikan dalam konteks pengajian Al-Quran dan pembangunan karakter. Dr. Sakinah menekankan kepentingan pendekatan psikologi yang menyeluruh dalam pendidikan agama, yang mana ia dapat membantu dalam pembinaan keperibadian pelajar yang seimbang dan bermotivasi tinggi.

Gambar setelah selesai kuliah jemputan oleh Pengarah Ulul Albab, Dr. Sakinah di Fakulti Psikologi, Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau.

Sebagai tambahan, program ini juga merangkumi lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Bukit Tinggi dan Padang, Sumatera Barat, yang memberikan dimensi tambahan dalam memahami warisan kebudayaan dan sejarah Islam di Nusantara.

Lawatan ini memperkayakan pengalaman pelajar UPSI dan mendorong mereka untuk lebih menghargai konteks sejarah dalam pengajian mereka.

Lawatan ke Rumah gadang, Minangkabau
Lawatan ke Rumah Gadang, Minangkabau sambil mengenakan pakaian tradisional Minangkabau

Penasihat Program Mobiliti Outbound Peringkat ke-3 Ulul Albab Puan Nor Hayati Aziz, meluahkan rasa syukur terhadap pelaksanaan program ini.

Beliau menyatakan bahawa program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pendekatan dan modul pendidikan yang digunakan di pesantren di Riau dan Sumatera Barat, tetapi juga memperkaya pemahaman mereka terhadap nilai-nilai Islam yang sejagat.

Lawatan ke Masjid Raya Sumatera Barat

Puan Nor Hayati menekankan betapa pentingnya integrasi antara ilmu agama dan ilmu duniawi dalam membentuk individu yang holistik.

Beliau berharap agar para pelajar dapat mengambil iktibar daripada pendekatan yang digunakan di pesantren-pesantren tersebut dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian dan pengajian mereka di UPSI.

Selain itu, beliau turut mengharapkan agar pengalaman ini akan membentuk pelajar UPSI menjadi generasi Ulul Albab yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam akhlak dan kepimpinan.

Beliau yakin bahawa melalui program sebegini, hubungan antara institusi pendidikan Malaysia dan Indonesia akan terus kukuh, sekaligus membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama akademik di masa hadapan.

Keseluruhan program Mobiliti Outbound ini membuka perspektif baharu kepada para pelajar dan pendidik UPSI mengenai pendekatan pendidikan yang berasaskan Al-Quran, Ensiklopedik, dan Ijtihadik.

Modul pendidikan yang diterapkan di kedua-dua pesantren ini menunjukkan bagaimana integrasi antara ilmu agama dan ilmu duniawi dapat membentuk individu yang seimbang dan berjaya dalam semua aspek kehidupan.

Diharapkan, pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh melalui program ini dapat diterapkan dalam kurikulum di UPSI, sekaligus memperkukuh misi untuk melahirkan generasi Ulul Albab yang cemerlang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)