Oleh: Nazatul Najwa Rossimy (Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris sidang 2023/2024)
Tanjong Malim, 27 Julai 2024 – Fakulti Sains dan Matematik (FSM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Bengkel Pengurusan Surat Menyurat bertempat di Bilik Seminar Blok 1 FSM hari ini.
Bengkel Pengurusan Surat Menyurat merupakan sebuah program yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan mengasah kemahiran mengurus surat menyurat.
Melalui pelaksanaan bengkel ini, peserta yang terdiri dalam kalangan mahasiswa UPSI dapat menguasai penulisan memo, surat rasmi, kertas kerja, laporan program dan minit mesyuarat dengan baik.
Peserta bengkel ini juga telah menjalani latihan penulisan memo dalam kumpulan yang telah ditetapkan.
Bengkel ini telah dibahagikan kepada dua slot utama iaitu slot pengurusan memo dan surat rasmi yang telah disampaikan oleh Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2023/2024, Saudari Nini Syuryani Zainudin.
Slot kedua iaitu slot pengurusan kertas kerja, laporan program dan minit mesyuarat telah disampaikan oleh Setiausaha Kerja Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2023/2024, Saudari Carol Somuin.
Bengkel Pengurusan Surat Menyurat telah dapat dijayakan dengan kolaborasi strategik dengan banyak pihak termasuklah Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS), Kelab Rakan Astronomi (RASTRO), Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), XPert Team FSM dan SSCom.
Bengkel ini turut dihadiri oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FSM UPSI, 2 orang penceramah bengkel yang merupakan barisan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2023/2024, barisan pimpinan pelajar, ahli jawatankuasa pelaksana dan juga mahasiswa UPSI.
Diharapkan agar melalui penganjuran Bengkel Pengurusan Surat Menyurat, lebih ramai mahasiswa UPSI terutamanya mahasiswa FSM, yang profesional dan mahir dalam urusan surat menyurat dapat dilahirkan.