Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 13 Ogos- Bangunan Pusat Kokurikulum di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima Kunci Serahan Projek Pembinaan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Jurutera Daerah JKR Muallim, Ir. Yussaime Ahmad Yusuf berkata, pembinaan Pusat Kokurikulum ini merupakan pembinaan kompleks baharu untuk penempatan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan Pertahanan Awam (SISPA).

Menurutnya, Pusat Kokurikulum ini direkabentuk kepada 3 blok bagi menempatkan ruang-ruang utama seperti pejabat, stor, bilik persalinan, tandas, bilik latihan, surau dan stor senjata.

“Meskipun negara kita terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak awal tahun 2020 dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak menghalang projek ini untuk disiapkan sebagaimana yang disasarkan, hasil kerjasama semua pihak.

“Projek ini berjaya disiapkan dengan pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 23 Februari 2024 lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Pusat Kokurikulum ini diserahkan dengan pencapaian enam (6) dalam satu (1) iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), Lukisan Siap Bina, Penyata Akaun Muktamad (SOFA), Tiada Kemalangan Sepanjang Pembinaan, Tiada Major Defect dan Tiada Lost Time Injuries.

Prof Madya Dr. Ridzwan Che Rus menerima replika kunci penyerahan projek daripada wakil KPT, Ir. Ts. Hjh Wan Zakiah Wan Mohamed

Sementara itu, Pengarah, Akademik & Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata Pusat Kokurikulum adalah sistem sokongan yang penting kepada Kurikulum utama di bagi melahirkan graduan sebagai seorang guru yang berkualiti di UPSI.

“Pusat Kokurikulum ini memfokuskan tiga teras utama sebagai guru di sekolah iaitu sukan, kelab akademik dan persatuan atau permainan namun yang paling penting adalah penglibatan dalam Unit Beruniform.

“Setakat ini di mahasiswa di UPSI telah mempunyai penglibatan dalam pasukan sukarelawan seperti PALAPES dan SUKSIS yang menyokong kemenjadian mahasiswa UPSI yang lebih berkualiti dan profesional.

“Melalui penubuhan Pusat Kokurikulum yang baharu ini diharapkan dapat mengembangkan potensi bakal-bakal pendidik yang ada di UPSI ini”, ujar beliau.

Sesi penyampaian cenderamata kepada Jurutera Daerah JKR Muallim, Ir. Yussaime Ahmad Yusuf

Turut hadir sama Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan JKR Malaysia, Datuk Ir. Dr. Balamurugan A. Gopal; Timbalan Setiausaha Bahagian Teknikal, Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Ir. Ts. Hjh Wan Zakiah Wan Mohamed, Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Dr. Roznim Mohamad Rasli.