Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim- Persidangan Antarabangsa Inovasi dan Teknologi Bahasa Arab (PInTAr 01) kali pertama yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 Oktober depan menjadi platform membincangkan penyelidikan dan inovasi berkaitan Bahasa Arab di negara ini dan antarabangsa.

Persidangan anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu diadakan dengan kerjasama Consortium of Asia-Pacific Education Universities (CAPEU), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dan Universitas Negeri Semarang (UNNES).

Pengarah Programnya, Dr. Maskanatul Fiqiyah berkata persidangan ini diadakan bertujuan untuk mengumpulkan penyelidik, saintis dan pelajar untuk bertukar-tukar dan berkongsi pengalaman, idea baharu dan hasil penyelidikan mereka mengenai semua aspek Bahasa Arab.

Menurut beliau, persidangan ini juga bertujuan untuk membincangkan cabaran praktikal yang dihadapi dan penyelesaian yang boleh diterima pakai.

“Terdapat tiga tema utama yang akan dibincangkan dalam persidangan kali ini iaitu Inovasi dan Teknologi dalam Bahasa Arab, Kajian Penyelidikan Linguistik Arab dan Kesusasteraan Arab.

“Persidangan ini akan menjadi satu platform yang ideal untuk sarjana berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai tiga perkara tersebut.

“Persidangan ini akan diadakan pada setiap tahun namun UPSI mendapat penghormatan sebagai tuan rumah yang pertama bagi persidangan 2024 ini,” kata beliau.

Antara panel pembentang kerja ialah Dr Elsayed Makki (UPSI), Dr Taj Rijal (UPSI), Prof Dr. Saipolbarin (UPSI), Prof. Emad Abdul Latif (Qatar University), Prof. Dr Yayan Nurbayan (Purwakarta Campus, Indonesia) dan Prof Dr. Abdul Hafidz (UNIDA Gontor, Indonesia).

Tambah beliau, tarikh akhir pendaftaran, penghantaran video dan kertas kerja penuh dibuka sehingga 19 September 2024.

Dr Nazri Atoh

“Peserta yang berminat untuk menyertai pesidangan ini boleh menghubungi Dr. Nazri Atoh (+6032582476) atau Dr. Maskanatul Fiqiyah (+60176169498).

“Untuk mengetahui mengenai persidangan ini dengan lebih lanjut, peserta boleh emailkan kepada pintarfbk@upsi.edu.my,” katanya.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)