Oleh: Dr. Suzaliza Mustafar dan ChM. Dr. Sharifah Norain Mohd Sharif
Kuala Terengganu, 29 – 30 Mei 2024 – Sebagai peneraju utama kebitaraan pendidikan, UPSI komited meneroka dan memajukan inovasi serta penyelidikan yang menyokong perkembangan teknologi terkini.
Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff telah memperkenalkan konsep BITARA yang menekankan inovasi dan penyelidikan serta transformasi teknologi.
Selaras dengan konsep ini, sekumpulan penyelidik dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI yang diketuai oleh Prof. Madya ChM. Dr. Noorshida Mohd Ali telah membangunkan model kit inovatif bagi topik simetri molekul, dikenali sebagai Cmet3 di bawah pembiayaan Geran Penyelidikan Universiti Berteraskan Pendidikan (GPUBP) UPSI.
Simetri molekul adalah salah satu konsep asas dalam kimia yang penting untuk memahami sifat dan perilaku molekul.
Namun, konsep ini sering dianggap sukar untuk dikuasai kerana sifat abstrak operasi simetri dan kesukaran dalam menggambarkan molekul dalam tiga dimensi.
Penghasilan model kit Cmet3 telah memperolehi pengiktirafan di peringkat kebangsaan apabila berjaya merangkul pingat gangsa dalam pertandingan Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI’24), yang telah diadakan pada 29 dan 30 Mei 2024, anjuran Universiti Malaysia Terenggani (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Kolej Universiti TATI (UC TATI).
Rentetan kejayaan tersebut, para penyelidik telah mengorak langkah dengan mendigitalkan Model Kit Cmet3 menerusi pembangunan satu platform digital yang membolehkan pelajar mengakses rakaman video, nota, dan latihan yang berkaitan.
Platform ini menyokong pembelajaran interaktif, membolehkan pelajar berinteraksi secara aktif dengan bahan yang disediakan, serta memanfaatkan pembelajaran tidak segerak yang fleksibel. Inisiatif ini membuka peluang bagi pelajar dari pelbagai latar belakang dan keupayaan untuk mengakses pendidikan berkualiti tinggi secara lebih inklusif.
Penyelidik kini mengatur langkah untuk mempromosikan Model Kit Cmet3 dan platform digital ini di peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam International University Carnival on E-Learning (IUCEL) yang dianjurkan oleh Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum UKM.
Transformasi digital ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelajar, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menjadikannya lebih inklusif serta mudah diakses.
Sebagai peneraju dalam kebitaraan pendidikan, UPSI menyokong pengkomersilan dan menggalakkan perkongsian hasil penyelidikan kepada semua pihak yang berkepentingan termasuklah komuniti untuk manfaat bersama. UPSI akan terus komited memacu kemajuan pendidikan yang memberikan impak positif kepada masyarakat.