Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 14 Ogos- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Muallim menganjurkan Karnival Keluarga Sejahtera Merdeka sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Daerah Muallim 2024 di Auditorium, UPSI.

Sambutan yang diadakan pada tahun 2024 yang bertemakan ‘Rapatkan Jurang: Sokong Susu Ibu Sepenuhnya (Closing the Gap: Breastfeeding Support for All)’ memfokuskan kepada kelangsungan hidup, kesihatan dan kesejahteraan

Pegawai Kesihatan Daerah Muallim, YM Dr. Raja Mohd Azim Raja Haron berkata tujuan sambutan yang diadakan pada kali ini adalah untuk meningkatkan kesedaran berkaitan keperluan penyusuan susu ibu secara ekslusif di kalangan komuniti di dalam daerah Muallim.

Ucapan daripada YM Dr. Raja Mohd Azim Raja Haron

Menurut beliau, dari tahun ke tahun peratusan bagi penyusuan susu ibu secara ekslusif ini menunjukkan penurunan data dari tahun sebelum ini.

“Bagi peratusan penyusuan susu ibu di negeri Perak adalah sekitar 60 peratus dan untuk daerah Muallim adalah sekitar 70 peratus.

“Sokongan daripada pihak majikan dan yang paling penting daripada suami supaya ibu yang bekerjaya ini memberi penyusuan kepada bayi secara ekslusif.

Tambah beliau, antara objektif yang penting dalam penganjuran pada kali ini untuk memberi sokongan kepada ibu-ibu di tempat kerja iaitu tempat kerja yang menyediakan tempat khas penyusuan susu ibu.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Abdul Rahim Razalli turut hadir bagi merasmikan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Daerah Muallim.

Prof Dr. Abdul Rahim Razalli menurunkan tandatangan sebagai tanda merasmikan  Karnival Keluarga Sejahtera Merdeka sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Daerah Muallim 2024

Beliau berkata, tema sambutan pada kali ini menyoroti keperluan untuk meningkatkan sokongan penyusuan ibu bagi mengurangkan ketidaksamaan yang wujud dalam masyarakat, khususnya dalam situasi kecemasan dan krisis.

Prof Dr. Abdul Rahim Razalli menyampaikan ucapan aluan

Menurut beliau, untuk mencapai matlamat ini, kerjasama dari semua pihak adalah sangat penting, termasuklah peranan kerajaan, penggubal dasar, pertubuhan bukan kerajaan, majikan, pekerja, komuniti dan ibu bapa.

“Dasar Kerajaan menyarankan agar setiap bayi dimulakan dengan penyusuan susu ibu sejurus kelahiran, diikuti penyusuan eksklusif selama 6 bulan dan diteruskan sehingga anak berusia 2 tahun.

“Sokongan dari sistem kesihatan yang mesra penyusuan susu ibu serta penglibatan komuniti amat penting dalam menjayakan amalan ini”, ujar beliau.

Tambah beliau lagi, melalui penubuhan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Daerah Muallim (KESUMA) adalah langkah yang tepat untuk mempromosi, melindungi dan menyokong amalam ini.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) UPSI menerima Anugerah Fasiliti Mesra Penyusuan Susu Ibu pada tahun lepas menjadikan NCDRC sebagai salah satu fasiliti bukan kesihatan di Muallim yang mempunyai bilik penyusuan ibu di tempat kerja.

Peserta yang hadir memeriahkan karnival ini

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan kepada Persatuan Wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (PEWARIS) dan NCDRC atas sumbangan tenaga dan bantuan dalam menjayakan karnival ini,” katanya.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)