Oleh: Bazli Razak
Kuala Lumpur, 12 Ogos- Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan kunjungan hormat ke Berita Harian sebagai rakan media strategik dalam memantapkan penerbitan media seperti pelaporan berita, jurnal dan artikel.
Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Thillinadan Muniandy berkata pihaknya sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan pensyarah di UPSI sekaligus mempunyai hubungan kerjasama baik dengan UPSI.
“Pihak kami banyak berhubung dengan pensyarah UPSI untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai isu-isu semasa lalu menerbitkan artikel mereka itu di saluran penerbitan kami.
Tambah beliau, sesebuah berita yang mempunyai nilai yang tinggi akan lebih menarik minat pihak media luar untuk berkongsi berita tersebut secara meluas.
“Kami di Berita Harian sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pihak UPSI untuk terus berhubung bagi menjalankan kerjasama dalam penerbitan media, rencana, artikel dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr. Ghazali Din berkata di UPSI mempunyai ramai pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang namun ia tidak dipromosikan secara umum.
“Pihak kami juga ingin berkongsi artikel tersebut kepada media luar namun pihak kami perlu membuat penambahbaikan terlebih dahulu mengikut format penulisan yang betul bagi memudahkan pembaca menerima maklumat yang disampaikan.
“Menerusi hubungan kerjasama bersama Berita Harian ini diharapkan boleh berkongsi maklumat yang betul mengenai format penulisan berita atau artikel seperti bilangan patah perkataan dan sebagainya,” katanya.
Associate Editor, Content & Digital Berita Harian, Zainudin Mohd Isa pula berkata Berita Harian mempunyai halaman artikel yang khusus untuk segmen pendidikan yang banyak ditulis dalam kalangan pensyarah.
“Menerusi segmen tersebut, pihak UPSI boleh memanfaatkan peluang tersebut untuk menerbitkan artikel yang ditulis dari pensyarah di UPSI itu sendiri,” katanya.
Kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata dari kedua-dua pihak dan sesi lawatan ke pejabat Berita Harian.