Oleh: Ahmad Muizzuddin Safian

Tanjong Malim, 2 Ogos 2024 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan daripada pihak Malaysian Qualifications Agency (MQA) untuk melaksanakan akreditasi penuh bagi dua (2) program Sarjana Teknikal dan Vokasional (Ekonomi Rumah Tangga) dan (Teknologi Kejuruteraan).

Rombongan MQA diketuai oleh Ketua Penilai, Prof. Mohamd Sattar Rasul dan disambut oleh Timbalan Dekan (Pembangunan Akademik dan Pengijazahan), Institut Pengajian Siswazah (IPS); Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Prof. ChM. Dr. Azlan Kamari, serta pegawai-pegawai kanan IPS dan FTV.

Lawatan ini melibatkan penilaian dari segi tinjauan fasiliti, proses pengajaran dan pembelajaran, temu bual serta penilaian dokumen-dokumen penting yang berkaitan dengan kurikulum dan pengurusan program.

Prof. Mohamd Sattar Rasul menjelaskan bahawa penilaian akreditasi penuh ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MQA untuk memastikan bahawa institusi pengajian tinggi di Malaysia menawarkan program-program yang berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan pasaran kerja.

“Kami akan menilai aspek-aspek penting seperti kualiti pengajaran, kemudahan, serta pencapaian pelajar.

Tujuan kami adalah untuk memastikan bahawa program-program ini bukan sahaja memenuhi piawaian nasional tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa” kata beliau.

Dalam lawatan tersebut, pihak MQA turut melawat bilik kuliah, makmal komputer serta semakan terhadap  keselamatan bilik kebal dan pengurusan soalan peperiksaan pengajian siswazah di IPS.

Mereka juga mengadakan sesi temubual dengan pensyarah dan pelajar bagi mendapatkan maklum balas mengenai pengalaman mereka dan kualiti program yang ditawarkan.

UPSI berharap bahawa hasil daripada penilaian ini akan memberikan pengiktirafan yang diperlukan untuk terus menawarkan program-program Sarjana Teknikal dan Vokasional dengan standard yang tinggi.