Oleh: Puan Noorheli Ayob
Lenggong, 9 – 11 Ogos 2024- Berlangsungnya Kursus Biro Muslimat dan Biro Belia Masjid yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak dengan hasil Kerjasama Pusat Kepimpinan Pelajar Mara (Puskep), Lenggong, Perak dengan melibatkan semua Biro Muslimat dan Biro Belia Masjid di seluruh Masjid-Masjid Qariah dan juga Masjid IPT di Negeri Perak.
Kursus yang diadakan di Pusat Kepimpinan Pelajar Mara (Puskep), Lenggong, Perak ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti mencabar seperti Water Confident, Night Orienteering, Berbasikal, Ekspedisi Berkayak, Paintball, Abseiling, dan Flying Fox.
Aktiviti seperti ini adalah sebagai salah satu cabaran diri sendiri dan juga ahli pasukan yang lain bagi memupuk semangat kerjasama, memperkukuh hubungan antara peserta, menjadikan peserta lebih padu sebagai satu pasukan.
Melalui latihan praktikal ini, peserta diberi peluang untuk mengaplikasikan semua ilmu yang telah dipelajari sepanjang kursus dalam situasi sebenar.
Pengalaman dan ilmu yang diperoleh melalui pelbagai aktiviti ini pastinya akan memberi manfaat besar, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada komuniti masjid kita.
Pihak Masjid Al-Mursyidin UPSI, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Perak atas peranan penting dalam penganjuran Kursus Pemerkasaan Biro Muslimat dan Biro Belia Masjid.
Program seperti ini dapat memberi pendedahan yang sangat baik terutama dalam kalangan muslimat dan belia bagi menarik minat untuk turut serta setiap penganjuran program oleh pengurusan masjid.
Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada Pusat Kepimpinan Pelajar MARA, yang telah menyediakan fasiliti dan sokongan padu sepanjang kursus selama 3 hari 2 malam ini.
Kerjasama dan komitmen semua pihak telah menjayakan program ini dengan cemerlang, dan kami yakin ilmu serta pengalaman yang diperoleh akan memberi manfaat besar kepada ahli-ahli Muslimat & Belia Masjid dalam memperkasakan komuniti kita.
Semoga hubungan erat antara semua pihak terus terjalin dan bersama-sama kita membina masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang untuk umat Islam.