Oleh: Aizat Zawawi (Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris Sidang 2023/2024)
Tanjong Malim, 19 Ogos 2024 – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI menganjurkan Youth Vocational Training Programme sebagai inisiatif penting untuk memberi peluang kepada murid-murid mendalami bidang teknikal dan vokasional secara menyeluruh.
Program yang berlangsung selama dua hari, bermula pada 18 Ogos 2024, telah disertai oleh 40 orang murid-murid Tingkatan 4 dan 5 Aliran Vokasional dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin, bersama empat orang guru pengiring.
Program ini direka khas untuk mempersiapkan murid-murid dengan pengetahuan yang mendalam terhadap prinsip-prinsip asas dalam bidang teknikal dan vokasional.
Melalui gabungan pembelajaran teori dan aplikasi praktikal, Youth Vocational Training Programme menyediakan platform komprehensif yang memberi pendedahan holistik kepada murid-murid dalam konsep asas Technical and Vocational Education and Training (TVET).
Pendedahan ini penting bagi memastikan murid-murid memperoleh kemahiran yang relevan sebelum mereka memasuki dunia pekerjaan atau melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mempromosikan UPSI sebagai destinasi pilihan bagi murid-murid yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah.
Pada masa yang sama, program ini juga berfungsi sebagai dorongan dan galakan kepada murid-murid SMK Ungku Husin untuk meneruskan pelajaran mereka, selain memberikan pendedahan awal tentang kehidupan di universiti.
Murid-murid diberi peluang untuk mendalami aspek pembelajaran teori dan aplikasi praktikal, yang merupakan teras utama dalam pendidikan teknikal dan vokasional.
Program yang dirasmikan oleh Dr. Suriani Binti Mohamed, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FTV ini turut bertujuan mencungkil bakat kepemimpinan dan kemahiran komunikasi dalam kalangan murid-murid.
Memetik kata-kata beliau dalam ucapan perasmian, beliau menasihati supaya murid SMK Ungku Husin terus bersemangat dalam pelajaran dan mengekalkan jati diri serta berhasrat untuk bertemu mereka di universiti keramat ini dalam beberapa tahun akan datang.
Pendedahan awal kepada aspek kehidupan universiti yang diberikan dalam program ini juga membantu murid-murid membuat persediaan mental dan emosi sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.
Program yang bermula pada hari Ahad, 18 Ogos 2024 telah menjalankan pelbagai aktiviti, antaranya ialah aktiviti team building yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan semangat berpasukan.
Aktiviti ini membantu memperkukuhkan hubungan antara peserta serta menggalakkan nilai-nilai seperti kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan. Pada hari yang sama juga mereka dibawa melawat fasiliti sukan yang terdapat di Arena UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).
Pada hari Isnin, program ini diteruskan lagi dengan aktiviti Praktikal Kimpalan Arka dan Gas. Dalam sesi ini, peserta diberi peluang untuk mempelajari teknik kimpalan arka dan gas secara praktikal yang dapat memberikan gambaran bahawa di universiti, pembelajaran secara praktikal turut ditekankan selari dengan pembelajaran secara teori.
Selain itu, peserta juga dibawa melawat ke Muzium Pendidikan Nasional dan Perpustakaan Tuanku Bainun di mana mereka berpeluang untuk menghayati sejarah dan perkembangan pendidikan di Malaysia.
Youth Vocational Training Programme merupakan langkah proaktif dalam membuka peluang pendidikan lanjutan kepada murid-murid. Ia membentuk asas kukuh untuk mereka yang berminat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, sama ada diploma, ijazah, atau lebih jauh lagi.
Selain itu, program ini juga direka untuk memenuhi keperluan industri dengan menyediakan tenaga kerja yang berkualiti dan bersedia menghadapi cabaran dalam bidang teknikal dan vokasional.
Program ini turut menyumbang kepada peningkatan penguasaan kemahiran praktikal dalam kalangan murid-murid. Melalui kombinasi pembelajaran teori dan aplikasi praktikal, murid-murid berpeluang menguasai kemahiran yang relevan seperti pengendalian mesin, penyelenggaraan dan penyelesaian masalah praktikal.
Youth Vocational Training Programme juga menghargai pelbagai bakat dan minat murid-murid, memberi ruang untuk mereka mengejar kerjaya yang selaras dengan minat dan kebolehan masing-masing, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang progresif.
Youth Vocational Training Programme telah membuktikan penganjurannya sebagai inisiatif berharga dalam menyediakan murid-murid dengan peluang untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang teknikal dan vokasional.
Dengan menumpukan kepada pendidikan berkualiti dan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dengan sekolah, program ini membuka pintu kepada peluang pendidikan dan pendedahan yang lebih baik untuk generasi muda, sekaligus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih mampan dan berdaya saing.