Oleh: Noliza binti Yeop Kamarudin, Noorfarazila Muhammad Ayub

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2024 – Program Jundai Nusantara 3.0: Renjana Kebaya berlangsung dengan penuh gilang – gemilang bertempat di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur.

Program ini berjaya memartabatkan warisan budaya Melayu dan Nusantara melalui keindahan dan kehalusan seni pakaian tradisional, kebaya dalam persembahan peragaan dari setiap negeri, deklamasi puisi, puisi artistik, lagu popular, teater, monolog, dan nyanyian lagu rakyat.

Pementasan ini menampilkan barisan artis dan penggiat seni terkemuka seperti Aina Abdul, Roslan Mandun, Dr. Shafa’atussara Silahudin, Sosonjan A Khan, Brig. Jen. Dato’ Dr. Mohd Radzi, Sani Sudin, Isa Kamari, Syukri Abdullah, Artis Budaya DBKL, Saiful Wazien, Maysaa Hana, Izwan Palarae, SSeM Perak dan Kombo Budaya DBKL. 

Program ini bukan sahaja mempamerkan keunikan kebaya sebagai simbol warisan, tetapi juga menyatukan pelbagai bangsa dan budaya yang berkongsi kecintaan terhadap pakaian tradisional ini.

Pengarah program, Siti Maisarah Mohamad Yazid, dalam ucapannya berkata, “Jundai Nusantara 3.0: Renjana Kebaya bukan sahaja meraikan kebaya sebagai pakaian tradisional, tetapi juga sebagai lambang identiti dan kebanggaan budaya Melayu dan Nusantara.

Renjana Kebaya ini juga turut mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa, dengan liputan meluas mengenai kejayaan program ini dalam mengangkat dan mempromosikan kebaya sebagai warisan budaya yang patut dipelihara.

Dengan sambutan yang memberangsangkan, Jundai Nusantara 3.0: Renjana Kebaya telah membuktikan bahawa seni dan budaya tradisional masih relevan dan dihargai dalam era moden ini.

Pementasan seni ini telah dikelolakan sepenuhnya oleh Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba, UPSI dengan kerjasama Kelab Katarsis Seni bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (BSTP KPM) dengan sokongan dari Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).