Oleh: Dr. Zainun Mustafa dan Ms Tiana Mohamad

Pulau Pinang, 17 Ogos 2024 – Seramai 32 orang guru terpilih dari tujuh negara dari Asia Tenggara (Malaysia, Brunei, Thailand, Lao PDR, Myanmar, Cambodia dan Indonesia) telah berkumpul di Penang Biosphere Hill Reserve, untuk mengambil bahagian dalam salah  satu slot dalam sesi latihan yang telah dianjurkan oleh Regional Centre for Education in Science and Mathematics, Southeast Asia Ministers of Education Organization (SEAMEO RECSAM) dengan kerjasama Centre of Biodiversity and Conservation (CeBEC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta disokong oleh The Habitat Foundation (THF).

Sesi latihan ini menggabungkan gambar digital sebagai alat komunikasi dan pendidikan, dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang hak dan keadilan alam sekitar dalam pengajaran sains dan matematik.

Sesi latihan ini memberi tumpuan kepada dua isu utama yang kini menjadi cabaran besar di seluruh dunia: perubahan iklim dan kesannya terhadap stratifikasi sosial.

Perubahan iklim memberikan kesan yang mendalam terhadap persekitaran semula jadi dan infrastruktur, menekankan keperluan untuk pendekatan pendidikan yang lebih berdaya tahan dan adaptif.

Manakala, stratifikasi sosial berkaitan alam pula yang merujuk kepada jurang dalam akses kepada sumber alam pula menuntut pendekatan yang lebih adil dalam pendidikan sains dan matematik.

The Habitat, yang terletak di puncak Penang Biosphere Hill Reserve, telah menjadi lokasi utama bagi latihan ini.

Taman ini bukan sahaja menawarkan pemandangan yang indah, tetapi telah menjadi platform untuk mempamerkan biodiversiti dan usaha konservasi di Malaysia serta meningkatkan kesedaran tentang ekologi di seluruh Asia Tenggara. Melalui sesi ini, guru-guru diberi peluang untuk berkongsi idea dan pengalaman mereka melalui kursus pembangunan profesional.

Sesi taklimat awal

Gambar-gambar yang diambil oleh peserta sendiri telah digunakan sebagai alat untuk mencetuskan perbincangan dan refleksi mendalam tentang bagaimana konsep hak serta keadilan alam sekitar, boleh diintegrasikan dalam pengajaran sains dan matematik.

Melalui aktiviti ini, guru-guru telah digalakkan untuk mengaitkan teori sains dan matematik dengan situasi dunia sebenar, bagi tujuan advokasi yang lebih jelas agar menjadikan pembelajaran lebih relevan dan bermakna bagi pelajar.

Sesi dialog berfokus berdasarkan gambar-gambar yang diambil

Justeru, latihan yang dijalankan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada para guru tentang isu-isu alam sekitar, tetapi juga membuka ruang bagi mereka untuk meneroka bagaimana konsep-konsep ini boleh diterapkan dalam pengajaran sains dan matematik melalui lensa hak dan keadilan.

Dengan menekankan kepentingan hak dan keadilan alam sekitar secara khusus, latihan ini membantu para guru untuk memahami tanggungjawab mereka dalam mendidik pelajar tentang penjagaan alam sekitar dan keperluan untuk pembangunan mampan.

Secara keseluruhannya, latihan ini adalah sejajar dengan beberapa inisiatif antarabangsa, termasuk Perancangan Strategik SEAMEO 2021–2035, Pelan Kerja Pendidikan ASEAN, dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ini memastikan bahawa latihan yang dijalankan bukan sahaja bersifat reflektif terhadap isu setempat, relevan di peringkat serantau, tetapi juga mampu dibincangkan di peringkat global.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)