Oleh: Wan Noor Azizah Wan Shamsuri

Penang, 26 – 28 Julai 2024 – PM2PK Road to Penang adalah sebuah program anjuran Jabatan Yang Dipertua di bawah Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas untuk memberi pengalaman baru kepada ahli PM2PK menjalankan program lawatan sambil belajar ke Penang.

Program ini merupakan jemputan daripada Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Pendidikan Khas Persekutuan sempena menyambut sambutan ulang tahun ke-70 FSD.

Oleh itu, dengan adanya jemputan ini, sekaligus memberi peluang kepada ahli Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas untuk melakukan penjelajahan ke Penang. Di mana, selain terlibat aktif dengan program jemputan ahli PM2PK juga akan dibawa untuk melawat tempat rekreasi dan popular di Penang.

Program ini bertujuan bagi melaksanakan pengaturan takwim program Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas dengan tujuan memberikan pengalaman baru serta menjadi penanda aras kepada ahli dalam melaksanakan program di luar Tanjung Malim, Perak.

Program ini juga bertujuan untuk memperluas pengetahuan pendidikan khas pelajar AT10 melalui pengembaraan ke negeri lain, khususnya Penang, agar mereka dapat lebih memahami budaya, bahasa, dan keistimewaan setempat.

Gambar sewaktu majlis makan malam sempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 bersama pelajar pendidikan khas persekutuan.

Selain itu, program ini menawarkan keseronokan melalui aktiviti pembelajaran hands-on di lokasi lawatan dan memberi pendedahan yang berharga kepada ahli Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas, selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) untuk Pendidikan Berkualiti.

Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK) dengan bangganya mengumumkan penganjuran program lawatan sambil belajar ke Penang yang dinamakan PM2PK Road to Penang. Program ini di bawah anjuran Jabatan Yang Dipertua, bertujuan untuk memberi pengalaman baru kepada ahli PM2PK melalui penjelajahan pendidikan khas di bandar bersejarah ini.

Program ini merupakan jemputan khas daripada Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Pendidikan Khas Persekutuan (FSD) dalam rangka sambutan ulang tahun ke-70 FSD.

PM2PK dijemput untuk menyertai dua program iaitu Larian Amal FSD dan Majlis Makan Malam. Lawatan ini akan melibatkan pelbagai aktiviti dan sesi lawatan ke institusi pendidikan khas di Penang, yang dijangka memberi pengetahuan mendalam dan pendedahan berguna kepada peserta.

Aktiviti ini bukan sahaja akan memperluas wawasan peserta dalam bidang pendidikan khas, tetapi juga memperkukuh hubungan antara PM2PK dan FSD.

“Program ini adalah peluang yang sangat berharga untuk ahli PM2PK. Kami berharap ia akan memberi inspirasi dan meningkatkan pengetahuan mereka tentang sistem pendidikan khas yang berbeza di Penang,” kata Penasihat Persatuan PM2PK.

Dengan pelaksanaan program ini, PM2PK berharap dapat mempererat kerjasama dan hubungan profesional dalam bidang pendidikan khas, serta memberi impak positif kepada semua peserta.

Bukan itu sahaja, program jelajah sebegini sekaligus dijadikan sebagai ganjaran kepada ahli PM2PK atas usaha PM2PK dalam memajukan pendidikan khas dan membuka peluang kepada ahli-ahli persatuan untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam bidang tersebut.

Program Larian Amal FSD yang dinanti-nantikan telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat dan keceriaan baru-baru ini. Acara ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan bertujuan untuk mengumpul dana sambil mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar dan alumni sekolah masalah pendengaran.

Acara larian yang berlangsung adalah Larian 5km, yang melibatkan penyertaan aktif dari pelajar dan alumni sekolah masalah pendengaran. Selain larian, program ini juga dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. Peserta juga berpeluang meraih medal dan hadiah sebagai pengiktirafan kepada pencapaian mereka.

Sesi Fotografi bersama bekas pelajar sekolah pendidikan khas persekutuan

Sebagai sebahagian daripada pengisian acara, peserta disajikan dengan senamrobik yang penuh bertenaga, bertujuan untuk memupuk semangat kekitaan dan kesihatan fizikal. Selain itu, program ini turut menyediakan booth jualan yang menawarkan pelbagai produk menarik, serta rumah hantu untuk menambah elemen keseronokan.

Program ini bertujuan untuk menyokong dan memberi penghargaan kepada pelajar dan alumni sekolah masalah pendengaran, serta memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dalam suasana yang menyeronokkan dan bermanfaat. Dengan pelaksanaan acara ini, diharapkan dapat memperkukuh lagi semangat komuniti dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan gaya hidup aktif dan kesihatan.

Malam yang dinanti-nantikan oleh semua telah tiba dengan pelaksanaan Makan Malam Amal yang berjaya, bertempat di Bayview Beahs Resort, Batu Ferringhi Beach, Pulau Pinang. Program ini merupakan platform untuk meraikan kejayaan pelajar dan alumni sekolah masalah pendengaran sambil menikmati suasana yang meriah dan penuh makna.

Acara ini dimulakan dengan makan malam yang mewah, menyediakan hidangan istimewa kepada semua tetamu dan peserta. Malam tersebut diteruskan dengan tayangan video yang mempersembahkan pencapaian dan perjalanan inspiratif pelajar serta alumni sekolah masalah pendengaran, memberikan gambaran yang mendalam tentang sumbangan mereka dalam bidang pendidikan dan masyarakat.

Salah satu tarikan utama malam tersebut adalah persembahan tarian oleh murid masalah pendengaran, yang memukau hadirin dengan bakat dan dedikasi mereka. Persembahan ini bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian bakat, tetapi juga memberikan peluang kepada murid untuk menunjukkan hasil usaha mereka di hadapan tetamu kehormat.

Sesi penyampaian cenderahati kepada jawatankuasa program juga berlangsung dengan penuh penghargaan, sebagai tanda terima kasih atas usaha dan dedikasi mereka dalam menjayakan program ini.

Di samping itu, sesi penyampaian anugerah kepada pelajar sekolah terbaik juga diadakan, memberi pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang mereka dalam akademik dan aktiviti ko- kurikulum. Tetamu VIP yang dirai pada malam tersebut ialah Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, yang turut hadir untuk memberikan sokongan dan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat.

Makan Malam Amal ini bukan sahaja memberikan peluang untuk menghargai pencapaian pelajar tetapi juga sebagai platform untuk mempereratkan silaturahim dalam kalangan alumni, pelajar, dan pihak berkuasa.

Dalam dua acara penting yang dianjurkan baru-baru ini, Makan Malam Amal dan Larian Amal FSD, terdapat aspek unik yang membezakan program ini dari yang lain: penggunaan bahasa isyarat sebagai medium komunikasi dan interaksi utama.

Kedua- dua program ini telah menawarkan pengalaman baru yang berharga kepada Mahasiswa AT10, membuka peluang untuk belajar dan beradaptasi dengan cara komunikasi yang berbeza.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)