Oleh: Mahkrus Agam Mohd Subhan

Perak Tengah, 23 Ogos 2024 – Seiring dengan hasrat Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk menoktahkan penyakit kanser serviks di negara ini, sebuah Jelajah HPV bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim telah dianjurkan di dua lokasi berbeza iaitu di Kampung Gajah dan Seri Manjung.

Jelajah ini telah dianjurkan oleh NCSM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) UPSI selaku rakan kolaborasi yang menyambut baik inisiatif ini.

PMS telah menghantar seramai 10 orang pelajar Fakulti Sains dan Matematik (FSM) untuk menjadi sukarelawan bukan perubatan (non-medical volunteers) untuk membantu pihak NCSM dalam jelajah ini.

Sukarelawan semasa sesi penerangan oleh wakil pihak Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM)

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit kanser serviks atau kanser pangkal rangkal rahim merupakan kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita di negara ini.

Penyakit ini adalah berpunca daripada jangkitan virus papiloma manusia (Human Papillomavirus, HPV) yang kebiasaannya berjangkit melalui sentuhan dan hubungan seks.

Para penerima vaksin HPV di Kolej FELCRA bertempat di Kampung Gajah, Perak Tengah

Maka, amat penting untuk kita memastikan seramai mungkin kaum hawa di negara ini menerima suntikan vaksin HPV bagi menoktahkan penularan penyakit ini.

300 000 dos vaksin yang diterima oleh NCSM dijangka akan memberi manfaat kepada golongan remaja perempuan dan lelaki daripada golongan kurang berkemampuan, terpinggir dan mereka yang berada di pedalaman.

Para sukarelawan sedang bersedia sebelum program bermula.

Di bawah program “Volunteers On The Way Siri 1” ini, Pengarah Program, Sritharan Murugan berharap agar inisiatif ini serba sedikit dapat membantu dan memberi sokongan kepada NCSM dalam menjayakan program Jelajah HPV ini sekali gus meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai HPV yang banyak menyerang wanita muda di negara ini.

Sesi pendaftaran yang dikendalikan oleh sukarelawan daripada UPSI

Program ini juga mencapai objektifnya untuk melibatkan pelajar universiti dalam aktiviti kesukarelawanan serta mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat iaitu Pendidikan Berkualiti.

Bukan itu sahaja, program ini juga dapat mengukuhkan kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan NCSM.

Siti Nur Sahilah, salah seorang sukarelawan menjelaskan beliau amat teruja menyertai aktiviti kesukarelawanan ini kerana banyak perkara yang beliau pelajari terutamanya melibatkan HPV dan kanser serviks.

“Walaupun agak penat namun saya teruja kerana banyak perkara baharu saya pelajari berkenaan HPV. Tambahan pula, pengalaman aktiviti kesukarelawanan ini amat bermakna bagi saya”, ujar beliau.

Sukarelawan UPSI bersama warga Kolej FELCRA

Jelajah ini akan diteruskan lagi pada 5 September dan 11 September, masing-masing di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Kolej Vokasional Teluk Intan serta Kolej Politeknik Bagan Datuk.

Volunteers On The Way Siri 1ini menggalakkan penglibatan mahasiswa dan mahasiswi dalam aktiviti kesukarelawanan terutamanya dalam bidang kesihatan awam.

Ia membuktikan kesungguhan PMS dan FSM, UPSI dalam memastikan hasrat NCSM menoktahkan penyakit kanser serviks dapat direalisasikan dengan jayanya.