Oleh: Syarah Alisya Binti Mohd Azim

13 Oktober 2024: Majlis Anak Johor (M@JOR) UPSI sidang 2023/2024 telah menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan (Annual Grand Meeting, AGM) bagi sidang 2023/2024 pada 13 Oktober 2024 di Dewan Kuliah C, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI pada pukul 8.00 pm hingga 10.00 pm. Majlis ini juga dihadiri seramai 136 orang ahli M@JOR termasuk Yang Berhormat, Tuan Hj Mohd Yusla bin Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Senggarang merangkap Adun Angkat M@JOR dan En. Mohd Sollehin bin Md Satar, Pegawai Bahagian Pembangunan Mahasiswa, Yayasan Pelajaran Johor secara atas talian melalui aplikasi “Google Meet”.

Annual Grand Meeting Majlis Anak Johor (M@JOR) Sidang 2023/2024 yang diadakan secara bersemuka yang dilakukan di Dewan Kuliah Pelajar C, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah ini dirangka bagi melantik kepimpinan yang baharu dalam Persatuan Majlis Anak Johor (M@JOR) bagi sesi 2024/2025 dan secara tidak langsung menyambung kepimpinan persatuan yang kini iaitu sesi 2023/2024. Dalam mesyuarat agung ini juga, pemilihan akan dilakukan bagi melantik Majlis Tertinggi, dan Exco. Pemilihan ini melibatkan semua mahasiswa anak Johor bermula daripada semester 1 hingga semester 5 dengan mengamalkan prinsip demokrasi. Hal ini secara tidak langsung, dapat menyemai kriteria kepimpinan dalam diri mahasiswa serta mendidik anak bangsa yang cemerlang dan berketerampilan. Majlis ini sememangnya mampu untuk memberi galakan supaya mahasiswa dan mahasiswi lebih berjaya pada masa akan datang serta melahirkan lebih ramai lagi mahasiswa dan mahasiswi yang cemerlang.

“Selaku Adun Angkat M@JOR, saya amat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan pada sidang kali ini di mana pelbagai program yang berimpak telah dilaksanakan khususnya melibatkan komuniti di Johor dan UPSI. Saya berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa akan datang”, jelas YB Yusla melalui ucapannya. Ucapan tahniah juga diucapkan kepada Saudara Mohamad Syamil Bin Mohd Salleh selaku Yang Dipertua sidang 2023/2024 dan Saudari Nora Asyikin Binti Musa yang bakal menerajui kepimpinan M@JOR pada sidang 2024.2025.

Dalam pada itu, Jabatan Setiausaha dan Jabatan Bendahari yang terdiri daripada Saudari Nur Izzah Binti Zulkarnain, Norshahirah binti Yahya dan Saudara Iqbal Zahin Bin Mohd Nasrudin telah membentangkan laporan aktiviti dan kewangan sepanjang sidang 2023/2024. Sebanyak 80 pelaksanaan kepimpinan telah dilaksanakan pada sidang 2023/2024 yang terdiri daripada pelbagai kluster dan inisiatif.

Menurut Dr Jamilah Omar, Penasihat M@JOR, “apabila sudah menjadi sebahagian dari M@JOR, kita haruslah tetap menabur bakti dengan berkongsi kepakaran dan pengalaman walau dimana sahaja kita berada. Jadikan alumni-alumni M@JOR sebagai contoh untuk anda terus bergerak ke hadapan”. Dr. Jamilah Omar yang juga merupakan antara pencetus penubuhan M@JOR bakal menyambung khidmat bakti beliau sebagai penasihat bagi sidang hadapan.

Sebanyak 15 anugerah telah diberikan kepada barisan kepimpinan Majlis Anak Johor (M@JOR) UPSI sidang 2023/2024 bagi menghargai jasa, sumbangan dan pencapaian mereka sepanjang keterlibatan selama satu sidang ini. Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah Majlis Anak Johor (M@JOR) UPSI sidang 2023/2024 dan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan baharu yang dilantik agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komited, jujur, amanah dan dedikasi sepanjang sidang serta dapat menjadi contoh teladan yang baik kepada seluruh mahasiswa.