Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 18 Oktober 2024 – Bazar Solar Masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tumpuan sempena berlangsungnya Karnival Bazar Solar Keusahawanan EDGE & BHEP.
Acara yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 11.00 malam ini berjaya menarik minat ramai pengunjung, termasuk pelajar, pensyarah, dan masyarakat setempat.
Karnival ini diadakan bersempena Masjid Al-Mursyidin Open Day dan Pelancaran Bazar Solar (EDGE), dengan sekitar 50 booth jualan dan pameran yang diwakili oleh pelbagai persatuan di UPSI.

Pengunjung berpeluang menerokai pelbagai jenis barangan, termasuk makanan, pakaian, aksesori, dan produk kraf tangan yang dihasilkan oleh para pelajar. Keberagaman produk yang ditawarkan mencerminkan kreativiti dan inovasi pelajar.
Pengunjung turut menikmati persembahan seni yang menghiburkan serta menyaksikan demonstrasi produk yang inovatif.

Tujuan utama karnival ini adalah untuk menggalakkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar. Acara ini juga menjadi platform yang baik untuk mempromosikan produk tempatan dan memberi sokongan kepada para usahawan muda.
Kehadiran pengunjung yang ramai membuktikan bahawa acara ini sangat dinanti-nantikan dan memberikan impak positif kepada semua yang terlibat.
Karnival Bazaar Solar ini bukan sahaja memeriahkan suasana di UPSI, tetapi juga membantu mempromosikan produk tempatan dan memberikan sokongan kepada para pelajar universiti khususnya UPSI.

Dengan kejayaan acara ini, penganjur berharap untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama pada masa akan datang.
Pengunjung yang hadir bukan sahaja pulang dengan barangan menarik tetapi juga dengan pengalaman berharga dan inspirasi dalam dunia keusahawanan. Karnival ini jelas membuktikan bahawa semangat keusahawanan dalam kalangan generasi muda terus berkobar dan patut dipuji.