Oleh: Ayu Farhana Muhamad Nuri

Tanjong Malim, 27 September 2024: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2023/2024 mengambil inisiatif proaktif dalam menyantuni mahasiswa baharu ambilan September 2024.

MPP UPSI Bersama TNCHEPA Santuni Mahasiswa Sarjana Muda Ambilan Baharu

Usaha ini menjadi manifestasi kepedulian MPP terhadap kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa yang akan mendaftar pada 28 September 2024 (Sabtu).

Program Santuni Mahasiswa ini dirancang dengan tujuan utama untuk membantu mahasiswa serta keluarga yang berdepan dengan kekangan tempat penginapan di sekitar Tanjong Malim.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI sedang beramah mesra bersama Pelajar Ambilan Baharu di Kafeteria Kolej Harun Aminurrashid

Ada antara keluarga pelajar yang terpaksa bermalam di masjid dan stesen minyak disebabkan ketiadaan penempatan yang mencukupi.

Sebagai langkah responsif, MPP UPSI telah berusaha menyediakan kemudahan penginapan sementara di Kolej Za’ba secara percuma untuk keluarga pelajar yang memerlukan.

Antara keluarga yang ditempatkan di Kolej Za’ba

Selain itu, MPP turut mengambil inisiatif dengan memberikan sumbangan makanan kepada mereka, sekaligus mengeratkan hubungan antara mahasiswa baharu, keluarga, dan pihak universiti.

MPP bersama-sama dengan pihak pengurusan tertinggi universiti telah menjalankan rondaan di beberapa masjid sekitar Tanjong Malim seperti Masjid Jamek, Masjid Al-Ikhwan dan Masjid At-Taqwa di Proton City.

Rondaan ini diteruskan di Kampus Sultan Azlan Shah serta kolej-kolej kediaman bermula pada jam 10.00 malam sehingga jam 3.00 pagi.

Sesi menyantuni keluarga di Masjid Al-Mursyidin, KSAS

Pengarah Program Santuni Mahasiswa, Ayu Farhana, merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, yang telah meluangkan masa turun padang beramah mesra bersama para keluarga pelajar baharu.

Sokongan padu juga diterima daripada Majlis Pengetua Kolej Kediaman serta barisan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang turut sama menyertai rondaan, sekaligus memastikan program ini berlangsung dengan jayanya.

Program seperti ini tidak hanya menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa baharu, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam menyediakan suasana yang selamat, harmoni dan mesra bagi setiap warga universiti.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)