Oleh: Nur Zulifah Yazim dan Ainul Mardhiah Faizul

Tanjong Malim, 26 Oktober 2024 – Rumah yang cantik dan ceria itu datangnya dari rumah yang bersih. Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2024/2025 melalui Exco Blok Kediaman 2 atau lebih dikenali sebagai Aurellia menganjurkan program Rumah Kita yang melibatkan semua penghuni Blok Kediaman 2.

Program ini bertujuan memupuk nilai kerjasama dan merapatkan ukhwah antara ahli rumah. Selain itu, melahirkan rasa sayang terhadap rumah kediaman masing-masing justeru membina kreativiti penghuni dalam melahirkan idea untuk rumah yang ceria dan selesa sekali gus menanam sikap tanggungjawab dalam kalangan penghuni supaya menjaga kebersihan rumah mereka. Program Rumah Kita berkonsepkan pertandingan rumah bersih dan cantik di mana pemenang rumah tercantik bagi setiap rumah dipilih bagi setiap aras. Program sebegini dapat memberi motivasi kepada penghuni rumah untuk menceriakan rumah.

Pengarah program, Nurul Ain Fitry merangkap Exco Blok Kediaman 2, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2024/2025, menekankan bahawa kebersihan dan keceriaan rumah mestilah dijaga bagi memastikan kesihatan para penghuni dalam keadaan baik. Justeru, melalui program Rumah Kita, semua penghuni Blok Kediaman 2 dapat saling membantu antara satu sama lain agar kebersihan persekitaran rumah terjamin.

Felo Blok Kediaman 2, Nurul Najwa pula menegaskan bahawa kebersihan rumah harus dititikberatkan supaya tidak berlakunya masalah kesihatan yang disebabkan oleh persekitaran rumah yang kotor. Beliau memaklumkan bahawa melalui program ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli rumah dengan ahli rumah yang lain.

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, turut meluahkan rasa bangga dengan memuji program ini dapat mengekalkan kebersihan kolej serta mampu memupuk kerjasama antara satu sama lain. Menurut beliau, program seperti ini penting dalam meningkatkan kesedaran penghuni bahawa kebersihan dan keceriaan rumah itu menjamin kesihatan setiap individu tersebut.

Program Rumah kita diakhiri dengan harapan semua penghuni dapat menjaga kebersihan rumah secara berterusan. Tidak lupa juga dengan memberi penghargaan kepada penghuni Blok Kediaman 2 yang mampu menjaga kebersihan dan keceriaan rumah secara bersama. Secara tidak langsung, objektif program tercapai dengan ukhwah terjalin di antara penghuni dan penghuni yang lain.