Sesi fotografi jemputan bersama para pemenang

Tanjung Malim, 11 Oktober- Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) bersama Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bekerjasama dengan UPSI Esport Club telah berjaya menganjurkan program E-Sport MLBB Challenge yang berlangsung meriah di Dewan Tuanku Canselor, UPSI.

Program ini adalah salah satu daripada siri program di bawah Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics and Sustainable Fiesta 2024 (MIST’24) yang dianjurkan dari 10 hingga 12 Oktober 2024, bertujuan untuk mengasah bakat terpendam para mahasiswa dalam pelbagai bidang terutamanya dalam teknologi dan inovasi yang menjadi suatu keperluan pada masa kini.

Majlis penutupan dirasmikan oleh Dekan FSM, Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah. Turut hadir Penasihat Persatuan Mahasiswa Sains, ChM. Dr. Mohamad Idris Saidin dan Penasihat UPSI Esport Club, Dr. Chan Siang Jack.

Dr. Mohd Faizal Nizam Lee semasa ucapan perasmian penutup

Program E-Sport MLBB Challenge pada peringkat akhir perlawanan ini juga disertai seramai 4 kumpulan peserta yang terdiri daripada para pelajar UPSI yang bersama-sama berentap dalam kejohanan program E-Sport MLBB Challenge ini untuk menjadi pemenang. Selain itu terdapat seramai 200 lebih penonton yang juga turut hadir memeriahkan program.

Ketika program E-Sport MLBB Challenge ini berlangsung terdapat juga beberapa cabutan bertuah yang dilakukan oleh ajk hadiah bagi memeriahkan dan menceriakan suasana bagi para penonton semasa perlawanan berlangsung.

Majlis berakhir dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang E-Sport MLBB Challenge iaitu kumpulan Dino Comel sebagai juara dan seterusnya tempat kedua kumpulan Pokemon dan akhir sekali tempat ketiga kumpulan Dingin.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamat dalam meningkatan minat mahasiswa mahasiswi dalam pelbagai bakat terutamanya bidang teknologi dan inovasi negara kini. Program seperti ini berjaya mengembangkan kemahiran dan bakat mereka dalam teknologi di samping memupuk semangat berpasukan.