Oleh : Fatini Adilah Omar

Tanjong Malim, 10 Oktober – Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2024/2025 melalui Exco Blok Kediaman 2 atau lebih dikenali sebagai Aurellia menganjurkan program Ramah Mesra Felo bersama Penghuni dengan menghimpunkan lebih 500 penghuni blok bagi membincangkan hal berkaitan kebajikan dan keselamatan blok kediaman. Program yang diadakan di Dewan Harun Aminurrashid ini bertujuan untuk membina hubungan lebih erat antara Felo dan penghuni blok, di samping membincangkan langkah-langkah penting bagi menambah baik suasana blok dan kolej kediaman.

Pengarah program, Nurul Ain Fitry, yang juga Exco Blok Kediaman 2, menegaskan kepentingan komunikasi dan kerjasama antara penghuni dan felo bagi memastikan suasana yang harmoni dan kondusif di kolej. Beliau turut memperkenalkan program “Rumah Kita,” iaitu pertandingan menghias rumah paling cantik, sebagai langkah untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan kebersihan dan keceriaan blok.

Felo Blok Kediaman 2, Nurul Najwa, pula menekankan usaha pihak felo dalam menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat untuk semua penghuni. Beliau memaklumkan bahawa penghuni dibenarkan menggunakan kipas mini USB bagi mengatasi masalah kepanasan dalam bilik, dan pagar blok akan dikunci pada jam lapan malam untuk memastikan keselamatan penghuni terjaga.

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Che Anuar Che Abdullah, memuji program ini yang dianggapnya mampu memupuk kerjasama erat antara penghuni, felo, dan pihak pengurusan. Menurut beliau, program seperti ini penting dalam meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab hidup dalam komuniti.

Sesi soal jawab yang diadakan membolehkan penghuni berkongsi pendapat dan mengutarakan isu-isu seperti keselamatan, peraturan serta keadaan infrastruktur bilik. Majlis ini diakhiri dengan persembahan kreatif daripada penghuni Blok Kediaman 2, yang menceriakan suasana dan menutup program dengan penuh keseronokan.