Oleh: Irfan Aiman
Tanjong Malim: Kesenian dan kebudayaan merupakan cerminan identiti sesebuah masyarakat, menggabungkan nilai, kepercayaan, dan tradisi yang diwarisi dari generasi ke generasi. Dalam konteks kebudayaan, kesenian memainkan peranan penting dalam membentuk perpaduan dan meningkatkan kesedaran tentang warisan yang perlu dipelihara oleh generasi kini.
Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyemarakkan pentas kebudayaan dengan penganjuran program Semarak Seni dan Budaya @ SENADA KHAR untuk kali kedua, dikenali sebagai SENADA 2.0. Acara yang berlangsung pada 19 Oktober 2024 ini dihadiri oleh seramai lebih daripada 800 penonton, membuktikan betapa minat mahasiswa terhadap seni dan budaya.
Mengangkat tema Kesultanan Melayu Melaka berkonsepkan Lagenda Puteri Gunung Ledang, SENADA 2.0 bertujuan untuk mempamerkan keindahan seni dan kekayaan budaya di kalangan pelajar UPSI. Program ini dianjurkan oleh Exco Kesenian dan Kebudayaan, KHAR, dan menawarkan pelbagai persembahan serta pertandingan yang memukau.

Seramai 22 peserta yang bertanding daripada 5 kategori mengambil bahagian dalam pertandingan ini antaranya ialah Tarian Tradisional, Zumba, Nasyid, Deklamasi Sajak, dan Seni Suara. Peserta telah mempersembahkan karya yang kaya dengan konsep dan penceritaan. Persembahan yang dihiasi dengan gimik menarik dan sentuhan kreatif ini memberi peluang kepada setiap peserta untuk merebut gelaran juara yang diimpikan.


Acara dibuka dengan persembahan pembukaan yang menakjubkan, di mana pelajar UPSI mempersembahkan tarian yang menggabungkan elemen tarian Jawa dan Silat. Persembahan ini bukan sahaja menarik perhatian, tetapi juga menunjukkan keanggunan dan keunikan budaya kita. Sebagai penutup yang dinantikan, persembahan Battle of the Band memberikan satu pengalaman penuh semangat, menjadikan SENADA 2.0 berakhir dengan gilang gemilang.


Siti Nur Aisyah Mahadi, Pengarah Program SENADA 2.0, menjelaskan, “Program ini bukan sahaja meraikan seni dan budaya, tetapi juga menyatukan kita dalam semangat perpaduan dan kreativiti. Terima kasih kepada semua peserta yang telah berusaha keras untuk mempersembahkan karya yang luar biasa. Semoga acara ini dapat menginspirasi kita semua untuk terus mencintai dan memelihara warisan seni dan budaya kita.”
Felo Blok Kediaman 4 Nurul Najwa meluahkan rasa syukur dan puas melihat perjalanan program yang dipenuhi dengan kemeriahan. “Malam ini, saya melihat banyak bakat dan potensi mahasiswa KHAR yang mampu mencapai tahap yang lebih tinggi. Persembahan yang dipersembahkan membuktikan bahawa kita dapat melaksanakan program-program berimpak tinggi untuk membantu universiti melahirkan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing.”
Pengetua KHAR, Dr. Che Anuar Che Abdullah juga turut gembira dan bangga dengan pelaksanaan program ini yang cukup meriah dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiwa.
Turut hadir dalam acara ini adalah Ketua Felo, Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin, Felo Blok Kediaman 4 Dr. Maskanatul Fiqiyah, Felo Blok Kediaman 1 Hazman Ya’akob, Felo Blok Kediaman 3 Norrulkamari Daud dan Felo Blok Kediaman 5 Mohd Izzat.
Barisan juri yang diundang terdiri daripada individu yang aktif dalam dunia seni, masing-masing mempunyai kemahiran dan pencapaian yang mengagumkan. Mereka bertanggungjawab menilai setiap persembahan berdasarkan kreativiti, penyampaian, dan pola persembahan.

SENADA 2.0 kali ini telah memilih barisan juri yang aktif dalam dunia seni dan mempunyai kemahiran serta bakat luar biasa. Setiap juri yang dipilih memiliki kepakaran dan pencapaian yang mengagumkan dalam bidang seni persembahan, dan mereka bertanggungjawab untuk menilai setiap persembahan berdasarkan kreativiti, penyampaian dan pola persembahan.
Juri telah memilih 3 persembahan terbaik bagi setiap kategori dan dengan sukacitanya menobatkan pemenang bagi SENADA 2.0. Bagi kategori Tarian Tradisional, juara yang berjaya meraih gelaran adalah Astrella Night. Sementara itu, untuk kategori Seni Suara, Anaqi telah dinobatkan sebagai juara. Dalam kategori Nasyid, johan yang ditentukan adalah Kumpulan Kupu-Kupu. Bagi kategori Zumba, juara diangkat kepada kumpulan Zumbasistar. Akhir sekali, bagi kategori Deklamasi Sajak, gelaran juara dirangkul oleh Putra Danish Fahmi.

Secara keseluruhan, SENADA 2.0 telah menjadi platform yang luar biasa untuk merayakan seni dan budaya, serta menggalakkan kreativiti dalam mahasiswa UPSI. Dengan penyertaan yang menggalakkan dan barisan juri yang berpengalaman, program ini bukan sahaja memberikan pengalaman berharga kepada semua yang terlibat, tetapi juga mengukuhkan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap warisan seni kita.