Oleh: Musa Jaafar
TANJONG MALIM, 22 Oktober 2024 – Seminar Dakwah Masyarakat Majmuk (DMM) tahun 2024 berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, UPSI menerusi jalinan kerjasama di antara Pusat Ulul Albab (PUA) , Pusat Islam, Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) UPSI.
Seminar ini diadakan adalah lanjutan daripada Kunjungan Hormat GDM ke PUA pada 25 Jun 2024. Pada pertemuan ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyebarluaskan aktiviti dakwah kepada pelajar-pelajar UPSI.
Dakwah adalah seruan untuk mentauhidkan Allah dan mencegah kesyirikan dan merupakan satu platform untuk membincangkan pendekatan dakwah dalam konteks masyarakat yang pelbagai, termasuk aspek budaya, agama, dan sosioekonomi.
Persefahaman mengenai konsep dakwah, merupakan suatu kewajiban dan sunnah yang terbesar dan sangat terpuji. Justeru itu, pelajar-pelajar UPSI perlu diberi pendedahan, kesedaran dan hikmah untuk menjalankan tugas dan tuntutan dakwah ini.
Antara tujuan utama mengadakan seminar ini adalah bagi menyemarak dan menyuburkan kefahaman dan pengetahuan pelajar terhadap kepentingan menyampaikan dakwah kepada semua, menjawab persoalan-persoalan dakwah dan membina keyakinan diri peserta untuk berdakwah serta membantu pembentukan pasukan yang boleh menggerakkan usaha dakwah secara holistik.
Strategi Dakwah dalam Masyarakat Majmuk dan pendekatan yang sesuai untuk berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.akan membina jalinan yang lebih harmoni antara agama yang berlainan.
Impak seminar ini mampu melahirkan graduan yang membawa kesedaran kepada murid- murid, para guru, ibu bapa dan warga sekolah yang beragama Islam dan bukan Islam serta membantu menjelaskan Islam dengan penuh kefahaman dan berhikmah dengan menggunakan teknik dakwah yang mudah dan efektif selain menggunakan media sosial dan teknologi untuk menyebarkan dakwah dalam kalangan masyarakat moden.
Seramai enam (6) orang ahli panel daripada GDM telah berkongsi pengalaman dan masing-masing dalam memberikan input berguna kepada para peserta. Mereka terdiri daripada kalangan ahli akademik, konsultan dan NGO yang hebat dan berpengalaman luas antaranya Tn. Hj. Abd. Ghaffar Md. Shariff, Prof. Madya Dr. Haslina Ibrahim, Dr. Alizi Alias, Tn. Wan Muhammad Wan Ibrahim, Tn. Hj. Noli Husain dan Tn. Joannes Lukas.
Kehadiran peserta dianggarkan lebih daripada 100 orang telah mengikuti seminar ini sama ada secara langsung dari pagi hingga ke petang.