Oleh: Dr. Sabarina Shafie, Dr. Rawdah Adawiyah Tarmizi, Dr. Nor Suriya Abd Karim, Dr. Nur Hafizah Md Husin dan Nur Aina Syazana Ali Emran
Trolak, 26 Oktober 2024 – Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melaksanakan bengkel Pemantapan Algebra bertempat di SMK Trolak, Felda Trolak Selatan, Sungkai, Perak yang melibatkan seramai 108 orang murid tingkatan 3 dan 4 SMK Trolak.
Inisiatif ini dilakukan dengan tujuan memperkukuh pemahaman konsep asas algebra dalam kalangan peserta selari dengan objektif FSM untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui program khidmat masyarakat dalam usaha meningkatkan prestasi akademik di peringkat sekolah menengah.


Bengkel ini turut memanfaatkan kepakaran pensyarah dan mahasiswa dari Jabatan Matematik bagi berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan bidang kepada masyarakat luar dengan pensyarah bertindak sebagai mentor dan mahasiswa sebagai fasilitator.
Bengkel ini dijalankan melalui pendekatan 5G Algebra yang terdiri daripada lima fasa iaitu Gempita Algebra, Gegar Algebra, Gempur Algebra, Gilap Algebra, dan Gemilang Algebra. Setiap fasa dirangka khusus untuk memastikan murid-murid memperoleh penguasaan asas algebra yang lebih baik.



FasaGempur Algebra menekankan kefahaman murid terhadap asas algebra melalui siri ujian yang dilaksanakan secara tiga tahap seiring dengan taksonomi bloom yang merangkumi Tahap Rendah (Mengingat), Tahap Sederhana (Memahami), dan Tahap Tinggi (Mengaplikasi).
Dalam fasa ini, murid akan dikategorikan sebagai ‘menguasai’ atau ‘belum menguasai’ konsep berdasarkan skor yang diperoleh semasa ujian.

Sejurus itu, Fasa Gilap dilaksanakan bagi memberi pemahaman yang jitu kepada murid berkenaan asas algebra melalui sesi perbincangan dan penekanan terhadap kesalahan konsep bagi pengetahuan algebra.
Pendekatan yang sistematik dan berstruktur dalam bengkel ini telah memberi impak positif kepada murid, bukan sahaja dalam penguasaan algebra tetapi juga bagi mengasah kemahiran sosial dan kepimpinan mereka.

“Bengkel Pemantapan Algebra dilihat mendapat respon yang positif daripada murid dan juga guru SMK Trolak dan diharap dapat memberi impak bagi memacu kecemerlangan murid dan sewajarnya aktiviti seperti diteruskan pada masa akan datang” ujar pengarah program, Nur Aina Syazana Ali Emran bagi program Bengkel Pemantapan Algebra.