oleh: PROF. MADYA DR. MAZLINI ADNAN dan NUR AISYAH ASWNI MOHD ASRI
IPOH, 27 Oktober 2024 – Satu program pendidikan matematik yang diberi nama STEAl hasil inovasi daripada perkataan Explorasi Science, Technology, Engineering dan Mathematics (STEM) kepada Science, Technology, Engineering dan Algebra (STEAl) berjaya ditanjakkan.
Program ini berjaya memobilisasikan seramai 240 orang murid dari tingkatan 2 dan tingkatan 3 bertujuan untuk meningkatkkan lagi minat terhadap matematik, khususnya dalam memperkasakan bidang algebra.
Program ini merupakan inisiatif sekolah yang bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman konsep asas algebra dalam kalangan murid sekolah, di samping meningkatkan lagi kemahiran penyelesaian masalah secara kreatif dan inovatif.
Dalam usaha menjayakan program ini, kerjasama antara Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dapat dijalinkan.


Sebelum ke aktiviti utama, setiap murid melakukan senam robik sebagai aktiviti energizer. Hal ini bertujuan untuk menghangatkan suasana serta membina suasana dengan semangat yang ceria dan menyeronokkan dalam kalangan murid.
Seterusnya, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dijalankan di bawah bimbingan 21 orang fasilitator bagi mengeratkan lagi hubungan serta menggalakkan interaksi dan kemahiran komunikasi yang mesra antara murid dengan murid dan antara fasilitator dengan murid.
Murid dibahagikan kepada 20 kumpulan kecil, di mana setiap murid diberikan peluang untuk memilih fasilitator kegemaran mereka agar setiap kumpulan terbentuk dengan hubungan yang lebih rapat dan selesa.
Dalam sesi ice-breaking ini, taklimat ringkas telah diberikan untuk memberi panduan dan pemahaman kepada murid mengenai peranan dan tanggungjawab setiap ahli dalam kumpulan.
Selain itu, setiap kumpulan turut diarahkan untuk mencipta sorakan kumpulan yang unik, yang bukan sahaja mencerminkan identiti kumpulan mereka tetapi juga bertujuan mencetuskan semangat kerjasama.
Dengan sorakan ini, murid-murid diharapkan dapat lebih bersemangat dan komited dalam setiap aktiviti yang bakal dijalankan sepanjang program.

Program ini disertai oleh 21 orang fasilitator UPSI yang terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan pendidikan semester 6 dan semester 7 dan dibimbing oleh pensyarah UPSI, Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan yang berpengalaman lebih daripada 20 tahun dalam bidang pendidikan matematik.
Program ini turut memfokuskan kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis dalam kalangan murid, sesuai dengan tahap pembelajaran mereka.
Pelbagai aktiviti hands-on dan interaktif disusun agar murid lebih terlibat aktif dan murid berpeluang mempelajari konsep algebra melalui kaedah yang lebih menyeronokkan, sekaligus membina keyakinan mereka untuk menguasai topik-topik dalam algebra yang sering dianggap sukar dan mencabar.


Dalam usaha untuk mengukuhkan asas Algebra, para murid dengan memberi pendedahan melalui aktiviti interaktif yang dirancang berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Matematik Tingkatan 2 dan 3.
Program ini menyediakan latihan dan aktiviti yang selari dengan keperluan kurikulum, sambil memupuk minat murid terhadap subjek tersebut.
Sebanyak 20 checkpoint telah disediakan sepanjang program ini, merangkumi pelbagai topik dalam bidang Algebra seperti penyelesaian persamaan, operasi algebra, graf linear, dan faktor.
Setiap checkpoint menawarkan cabaran unik yang mendorong murid berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah algebra.
Para fasilitator bertindak sebagai pembimbing di setiap checkpoint, membantu para murid untuk memahami konsep-konsep utama dalam Algebra.
Dengan pendekatan secara langsung dan menggunakan alat bantu mengajar yang interaktif, fasilitator telah berjaya mencetuskan minat murid serta meningkatkan keyakinan mereka dalam menguasai algebra.
Sebagai tunjang utama para fasilitator telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membimbing murid Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) untuk memahami konsep algebra secara lebih mendalam dan praktikal.
Dengan tunjuk ajar daripada Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan, fasilitator telah diberi pendedahan dan panduan berharga mengenai kaedah penyampaian yang interaktif dan bersesuaian dengan tahap pemahaman murid sekolah menengah.
Dalam program ini, mereka menggunakan teknik-teknik inovatif seperti pendekatan kolaboratif dan kaedah penyelesaian masalah untuk memudahkan murid memahami konsep algebra yang abstrak dengan cara yang menyeronokkan.
Program STEAl ini telah mendapat sambutan yang sangat positif daripada murid serta guru -guru STAR yang hadir.
Program ini bukan sahaja meningkatkan pemahaman murid terhadap Algebra tetapi juga memupuk sikap yakin diri dan minat terhadap algebra amnya dan kepada Matematik khususnya.

Melalui program ini, diharapkan agar murid-murid STAR dapat membawa pulang ilmu dan pengalaman berharga yang membantu mereka dalam algebra, sekali gus mencetuskan potensi mereka sebagai generasi pemimpin masa hadapan yang cekap dalam ilmu sains dan teknologi.
Diharap agar jaringan Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) terus diperkuat pada masa yang akan datang.