Oleh: Abbas Ali Iftikhar Hussain dan Muhammad Iman Muhamat Noh
Tanjong Malim – Hijau dan bersih bukanlah hanya sebuah aspirasi tetapi fardhu kifayah dalam memupuk keperibadian modal insan bitara.
Melalui program Let’s Clean Together anjuran Kolej Harun Aminurrashid, penghuni kolej bersatu tenaga dalam aktiviti gotong-royong tahunan dalam memastikan ekosistem kolej sentiasa kondusif.

Program ini menekankan gaya hidup bersih dalam kalangan mahasiswa UPSI dalam memastikan suasana kolej yang selesa bagi semua penghuni sambil mengeratkan ukhuwah sesama penghuni sebagai keluarga KHAR dalam menjaga kelestarian kolej kediaman yang dibanggakan.
Aktiviti ini dimulakan dengan aluan pengarah program, Muhammad Zamir Md Zaidi. Beliau menyatakan bahawa kebersihan merupakan satu tanggungjawab mutlak bagi setiap penghuni kolej untuk diamalkan dalam kehidupan harian mereka, demi memastikan persekitaran yang sihat dan mencegah penularan wabak penyakit yang boleh mengancam kesejahteraan di kolej.

Seterusnya, motivasi pagi daripada Dr. Muhammad Ridhwan bin Sarifin menekankan kepentingan menjaga kebersihan kepada para penghuni bagi memastikan suasana kolej sentiasa ceria dan selesa untuk menuntut ilmu dalam perjalanan menjadi insan guru dalam mencapai aspirasi kemenjadian akhlak siswa madani.
“Program ini secara tidak langsung merupakan satu inisiatif untuk memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penghuni, di samping menjaga kebersihan serta keindahan persekitaran di sekitar kawasan kolej .”ujar beliau.


Pelajar telah mengambil langkah proaktif membersihkan kediaman yang melibatkan aktiviti membersihkan rumah, persekitaran kolej dan dobi.
Amalan kebersihan merupakan faktor yang besar dalam kemenjadian diri mahasiswa yang berdisiplin serta mampu mengikuti peraturan kolej yang sentiasa menekankan faktor kebersihan tempat tinggal sekaligus melatih pembinaan sifat timbang rasa sesama penghuni demi keselesaan bersama.


Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Hj Che Anuar Che Abdullah mengharapkan program sebegini akan terus berterusan demi mewujudkan persekitaran yang sihat dan kondusif serta selari dengan jenama UPSI sebagai universiti yang menerajui kebitaraan pendidikan.
