Oleh: Siti Aisah Thalaah Abdullah, Nur Ain Qaisara Hashim dan Mohd Fadhli Rosli

GOPENG, 28 Oktober 2024 – Seramai 63 orang peserta melibatkan barisan kepimpinan Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) bersama-sama rakan exco (RE) menyertai Program Jamboree UKLK 2.0.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 25 hingga 27 Oktober bertempat di Gopeng, Perak ini bertujuan untuk memperkasa ketahanan mental, fizikal dan emosi serta mengerat silaturahim dan kerjasama antara peserta.

Hubungan positif yang terjalin dalam kalangan peserta diharapkan dapat memperkukuh kesepaduan dalam berorganisasi dan menyemai semangat perpaduan yang utuh antara mereka.

Pembukaan Jamboree atau nama penuhnya Joint Adventure and Motivational Team-Building Recreation Experience dimulakan dengan ucapan perasmian oleh pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob.

Menurut beliau, program ini bukan sahaja berperanan sebagai platform dalam mengeratkan hubungan antara MMKLK, RE dan felo, tetapi juga menekankan tentang kepentingan dari segi keseimbangan JERI (Jasmani, Emosi, Rohani, dan Intelek).

Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob

“Dalam situasi semasa di mana kes masalah kesihatan mental kian meningkat, program seperti ini membantu peserta memahami kepentingan keseimbangan dalam setiap aspek kehidupan, sekaligus memperkukuhkan daya tahan diri dan kemahiran pengurusan emosi,” ujar beliau.

Pelbagai aktiviti menarik di dalam program ini termasuk water rafting, campfire dan beberapa aktiviti lain seperti kemahiran survival, di mana pelajar tidak hanya sekadar berkhemah di alam semula jadi tetapi juga berupaya memasak sendiri dalam kumpulan menggunakan bahan yang telah disediakan seperti ikan sardin di dalam tin, sayur kubis dan telur.

Aktiviti memasak bersama kumpulan
Aktiviti memasak bersama kumpulan

Di samping mengasah kemahiran hidup, aktiviti-aktiviti ini juga menggalakkan kerjasama dan interaksi antara ahli kumpulan.

Aktiviti water rafting
Aktiviti water rafting

Yang di-Pertua MMKLK Sidang 2024/2025, Muhammad Aziq Aiman Mohd Nor sewaktu sesi refleksi program berkata, “Program Jamboree 2.0 ini telah mengajar saya banyak perkara, termasuk kepentingan berkomunikasi dalam kumpulan seperti permainan Tangkapan Maut.

Aktiviti BBQ
Aktiviti campfire    

“Kami perlu bersepakat dan bekerjasama untuk menggerakkan kain dengan tepat agar belon dapat ditangkap tanpa pecah. Pengalaman ini bukan sahaja menguji keserasian, tetapi juga melatih kami berfikir dan bertindak secara serentak.

“Bagi saya, program kali ini benar-benar memberikan pengalaman yang sangat bermakna dan menyeronokkan”.

Diharapkan agar program seumpama ini dapat membantu mahasiswa UPSI khususnya barisan MMKLK dan RE Sidang 2024/2025 dalam mengekalkan kesatuan yang jitu sepanjang berorganisasi.

Kerjasama erat ini penting bagi mencapai objektif bersama, iaitu memperoleh ilmu dan pengalaman dalam pengurusan organisasi yang efektif.

Pada masa yang sama, diharapkan usaha ini mampu melahirkan mahasiswa holistik yang berjiwa kepimpinan dan serba boleh, yang kelak dapat memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan negara.