Oleh: Amilia Abdul Halil
Tanjong Malim, 12 November – Pusat Pembangunan Akademik (PPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris sekali lagi menunjukkan komitmennya terhadap pembangunan masyarakat melalui penganjuran Showcase SULAM@UPSI sempena Karnival SULAM UPSI 2024 yang berlangsung di Dewan Muallim, Scholar’s Suite. Program berjaya mengumpulkan 71 projek SULAM yang telah dijalankan sepanjang sesi akademik 2023/2024 dan melibatkan lebih 200 orang pensyarah dan mahasiswa UPSI yang berimpak dan memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
SULAM atau Service Learning Malaysia-University for Society adalah salah satu elemen yang mencirikan Amalan Pendidikan Berimpak Tinggi dalam kurikulum program akademik. Ia merupakan salah satu inisiatif strategik Universiti dalam melibatkan pensyarah dan mahasiswa dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran berasaskan komuniti. Melalui Showcase SULAM@UPSI, para pensyarah dan mahasiswa dapat memaparkan hasil usaha mereka dalam menyelesaikan isu komuniti dengan pendekatan berstruktur melalui kaedah SULAM menerusi pembentangan poster.
Daripada penyertaan 71 projek yang menyertai Showcase SULAM@UPSI, sebanyak 17 projek telah berjaya disenarai pendek sebagai finalis dan bertanding di peringkat akhir. Pembentangan finalis diadili oleh tiga orang juri professional bagi kategori pensyarah iaitu, Pengarah CADE UPM, Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad, Guru SMK Proton City, Nur Hakimi Bahri dan Pegawai Perpaduan Daerah, JPNIN, Nor Faizah Kamarudin. Bagi kategori pelajar pula, penilaian dilakukan oleh barisan juri yg terdiri daripada Penyelaras SULAM UiTM, Dr. Muhammad Faizal Samat, Ahli Jawatankuasa Strategik SULAM KPT, Dr. Mohd Hafiz Abu Hassan dan Dr. Mohd Hafiz Abu Hassan. Showcase SULAM@UPSI juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga UPSI dengan lebih daripada 300 orang hadir memberikan sokongan.
Antara projek yang dipertandingkan termasuklah program pendidikan kepada murid-murid sekolah, inovasi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran, inisiatif kesihatan masyarakat, pemeliharaan ekosistem dan pemuliharaan alam sekitar.
Karnival SULAMUPSI 2024 berakhir dengan Majlis Apresiasi SULAM 2024 di mana keputusan pemenang bagi Showcase SULAM@UPSI akan diketahui pada majlis tersebut yang akan berlangsung pada 13 November. Program ini diharapkan dapat menjadi platform yang terus menggalakkan lagi penyertaan mahasiswa dalam usaha membangunkan negara dan masyarakat di masa hadapan.