oleh: Nada Hilmy dan Syawalil Fitri

Tanjong Malim, 7 November 2024 – Setelah dua tahun menyepi, pentas FREKUENSI 2024 kembali menyemarakkan suasana di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Festival ini berlangsung di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS). Festival Kesenian dan Kebudayaan Kolej-Kolej Kediaman UPSI 2024 (FREKUENSI ’24) telah diadakan selama tiga hari, bermula dari 15 hingga 17 November 2024.

Pada tahun ini, Kolej Ungku Omar diberi penghormatan sebagai tuan rumah dan penganjur utama festival berprestij ini. Program bersepadu ini merupakan hasil kolaborasi erat antara kolej-kolej kediaman dan Pusat Kebudayaan UPSI.

Prof. Madya Dr. Mohd Nizam (Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman) dalam ucapanya berkata, penganjuran festival ini amat signifikan dalam memupuk rasa cinta dan penghargaan terhadap kesenian dan kebudayaan yang menjadi warisan berharga bangsa kita.

Dalam arus pemodenan masa kini, kita tidak boleh lupa akan keindahan dan nilai seni tradisi yang perlu terus diwarisi dan dipelihara.

Beliau berharap agar semangat kesenian dan kebudayaan yang ditunjukkan sepanjang program ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.

Beliau yakin bahawa program ini akan menjadi platform yang hebat dan menjadi inspirasi kepada seluruh warga UPSI untuk terus mendukung seni budaya tanah air kita.

Gambar Prof. Madya Dr. Mohd Nizam bin Hj. Nasrifan (Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman) Memberi Ucapan Perasmian.

Dalam FREKUENSI 2024, Kolej Awang Had Salleh, UPSI telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan setelah meraih 8 kemenangan dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Pentas FREKUENSI 2024 merupakan platform dalam mencungkil bakat pelajar kerana para peserta menunjukkan kehebatan yang luar biasa.

Persaingan yang sengit menjadikan tugas para juri amat mencabar dalam menentukan pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Menurut salah seorang panel juri pertandingan Dikir Barat, adalah sukar bagi beliau dan panel juri lain untuk menentukan juara pertandingan tersebut kerana semua peserta menunjukkan prestasi yang hampir sama dan sempurna.

Kolej Awang Had Salleh sebagai Johan Keseluruhan bagi FREKUENSI 2024.

FREKUENSI ’24 mempertandingkan 9 acara kebudayaan termasuk pertandingan Syair, Sajak, Kompang, Drama Sebabak, Tarian Rampaian, Nyanyian Solo, Dikir Barat dan satu acara baharu yang diperkenalkan dalam Frekuensi 2024 iaitu, Battle of The Band.

Kesemua para pemenang menerima sijil, trofi, dan piala iringan yang telah disampaikan oleh Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam serta tetamu kehormat yang hadir pada majlis perasmian penutupan festival itu semalam.

Gambar Peserta dari Unit Kediaman Luar Kampus sebagai Johan bagi Pertandingan Dikir Barat.

Selain pertandingan kesenian dan kebudayaan, FREKUENSI 2024 turut memperkenalkan kelainan baharu dengan menjemput dua penampilan khas, iaitu Zul Hadi dan Syafiq Reez, bagi memeriahkan lagi festival ini, serta membuka 22 gerai makanan dan minuman di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki (KAB).

Gambar Peserta dari Kolej Ungku Omar sebagai Pemenang Tempat ke-3 Kategori Tarian Rampaian dan Pemenang Kategori Penari Lelaki Terbaik
Gambar Artis Jemputan Zul Hadi (Kiri) dan Syafiq Reez (Kanan).

Sepanjang tiga hari festival berlangsung, gerai-gerai ini menyediakan peluang kepada mahasiswa/i UPSI untuk menikmati pelbagai hidangan sambil menyaksikan persembahan yang dipertandingkan.

Gambar Catherina Livan Billy (Pengarah Program FREKUENSI 2024) Memberi Ucapan pada Majlis Penutupan.

Pengarah Program, Catherina Livan Billy, dalam ucapannya, berkata bahawa FREKUENSI 2024 merupakan medium untuk mencungkil bakat mahasiswa/i dalam bidang kesenian dan kebudayaan yang ada dalam diri mereka.

Program ini bukan sahaja memberikan penekanan terhadap nilai kesenian dan kebudayaan, malah ia juga dapat mewujudkan sifat berdaya saing antara penghuni kolej kediaman melalui pertandingan yang dipertandingkan.

Gambar Tetamu Kehormat Bersama-sama AJK, Peserta dan Pengunjung FREKUENSI 2024.

Beliau berhasrat agar program ini bukan sahaja dapat memenuhi visi, misi, dan objektif pelaksanaannya, malah ia juga dapat memupuk semangat kerjasama antara semua kolej kediaman dalam menjayakan program bersepadu yang bakal dilaksanakan pada masa hadapan.