Oleh: Syawalil Fitri dan Hafiz Abd Manap

Tanjong Malim – Bertempat di Kolej Ungku Omar, seramai 40 mahasiswa/i daripada Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Kediaman Kampus Pagoh, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalankan satu program penanda aras bersama Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar bagi menjalinkan hubungan kesatuan antara organisasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

MMK KUO dan MKP Kampus Pagoh, UTHM bergambar selepas selesai sesi persidangan

Program penanda aras ini bertujuan membincangkan serta bertukar idea dan pendapat dalam tatacara berorganisasi. Pengisian utama program ini turut membawa kepada perbahasan isu dan topik cabaran dan penyelesaian dalam corak pengurusan organisasi yang efisien.

Pengenalan daripada kedua-dua kolej kediaman telah disampaikan oleh Majlis Tertinggi organisasi berkaitan sistem pengurusan yang digunakan oleh kedua-dua kolej kediaman.

Ucapan aluan Ketua Felo KUO, Chm. Dr. Saufi Rosmi
Ketibaan MKP Kampus Pagoh ke KUO

Ketua Felo Kolej Ungku Omar, Chm. Dr. Mohamad Saufi turut hadir untuk menyantuni mahasiswa/i daripada UTHM.

Menurut beliau, kedatangan universiti luar ke Kolej Ungku Omar adalah titik permulaan persilangan kepimpinan dan pengurusan KUO yang kini dipandang tinggi dalam memacu keseimbangan akademik dan sahsiah selain mencipta ikatan dan ukhuwah yang padu antara satu sama lain.

En. Hafiz turut serta dalam sesi persidangan antara dua kolej kediaman
Wakil MMK KUO berbahas isu yang dibangkitkan

Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar bersama Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Kediaman Kampus Pagoh turut bersatu dalam membahaskan segala isu yang sering timbul dalam kalangan mahasiswa/i pada masa kini. Dewan persidangan digegarkan dengan isu-isu hangat yang dibangkitkan oleh mahasiswa/i.

“Pengaruh Gaya Hidup Liberal Perlu Diberi Perhatian” dan “Pengurusan Emosi Mempengaruhi Cara Kerja Mahasiswa” merupakan antara isu yang dibahaskan bagi mendapatkan inisiatif untuk mengelakkan masalah seperti ini berleluasa.

Menurut Penolong Pegawai Tadbir KUO, Muhamad Hafiz, yang turut sama berbahas dalam sesi tersebut menyatakan komitmen KUO dalam menangani isu-isu yang berbangkit dalam kalangan mahasiswa dan pelbagai inisiatif UPSI yang boleh dikongsikan bersama dalam menjaga kebajikan dan keprihatinan dalam setiap permasalahan pelajarnya, tambahnya lagi.

Sesi LDK MMK KUO dan MKP Kampus Pagoh
Ucapan daripada Pengarah Program, Saudara Ali Azizi

Dalam suasana yang penuh hangat, perbahasan yang dibicarakan oleh setiap mahasiswa/i ini telah mencerminkan sikap yang prihatin terhadap segala isu yang sering terjadi dalam kalangan mahasiswa.

Ini juga membuktikan bahawa, dewan persidangan menjadi saksi bahawa kesungguhan daripada Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dan Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Kediaman Kampus Pagoh merupakan satu usaha telus dan konstruktif yang boleh dicontohi.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Ali Azizi Abdul Aziz, beliau berbesar hati kerana diberikan peluang untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengarah program penanda aras bersama UTHM dan sekaligus dapat mencapai objektif serta hasil pembelajaran yang disasarkan.

Beliau juga berharap supaya, program penanda aras seperti ini akan dapat diteruskan oleh setiap universiti di Malaysia agar dapat mengeratkan hubungan yang erat antara kedua-dua universiti dalam meningkatkan kualiti pada setiap universiti sehingga sama hebat seperti universiti antarabangsa.