Bergambar bersama penceramah dan peserta program

Oleh: Nur Syaidatul Hidayah Abdullah

Shah Alam, 1 Disember- Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan Program Peringkat 2 Kohort 13 yang bertempat di Kem Bumi Jati, Shah Alam yang melibatkan 45 peserta dalam kalangan pelajar UPSI yang aktif dalam program mingguan anjuran Pusat Ulul Albab. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepimpinan berteraskan nilai Islam, serta mengintegrasikan konsep Neuro-Linguistic Programming (NLP) bagi membentuk pemimpin yang berkualiti. Melalui gabungan ilmu kepimpinan Islam dan teknik NLP, peserta diharapkan dapat memperkukuh jati diri mereka dan membina kepimpinan yang berkesan, seterusnya memberi impak positif kepada masyarakat.

Program ini menfokuskan kepada tiga elemen utama dalam model Ulul Albab, iaitu Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik (QEI), yang disampaikan oleh panel-panel hebat. Sesi pertama dimulakan dengan Taklimat Projek Sahabat . Dalam sesi ini, peserta diberi penerangan tentang projek yang akan dilaksanakan, memberi ruang untuk mereka mengaplikasikan prinsip-prinsip kepimpinan dalam konteks projek tersebut.

Peserta sedang melaksanakan aktiviti komunikasi

Seterusnya, Kepimpinan Berteraskan Nilai Islam: Pembentukan Identiti Islam yang Kukuh, disampaikan oleh Penyelaras 1, PUA Dr. Tajul Rosli Shuib dan beliau memberi fokus kepada pembentukan identiti Islam yang kukuh dalam diri seorang pemimpin, serta memperkenalkan elemen-elemen kepimpinan yang ada. Peserta diajar untuk melihat cabaran sebagai peluang dan bukan halangan, serta menyesuaikan ciri kepimpinan mereka dengan elemen-elemen tersebut bagi membentuk pemimpin yang lebih berkesan.

Peserta Bersama Pengetua Cemerlang KPM

Sesi Quranik bertajuk Kepimpinan Rabbani: Menelusuri Jejak Kebaikan bersama Pengetua Cemerlang, Kementerian Pendidikan Malaysia, Nor Azam Abdullah, dalam sesi ini beliau menerapkan prinsip-prinsip kepimpinan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Nor Azam menekankan pentingnya menjaga hubungan dengan Allah dalam membentuk pemimpin yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan dalam kepimpinan dan dalam membuat keputusan kehidupan serta organisasi.

Seterusnya, sesi NLP: Anda Berhak Hebat oleh Norrul Izuhan Shafri, Master Coach NLP Malaysia memberi penekanan kepada kreativiti dalam membuat keputusan. Peserta dilatih untuk mengubah cara berfikir dan bertindak, menjadikan mereka lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang bijaksana. Aktiviti yang dijalankan mendorong peserta untuk berfikir di luar kotak serta membentuk personaliti pemimpin yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Peserta sedang beraksi bagi slot komunikasi berkesan

Program Bijak Berbicara dikendalikan oleh pakar dalam bidang komunikasi dan pembangunan diri. Badrul Sani, Peserta didedahkan dengan Asas Komunikasi Efektif, penekanan kepada aspek suara, bahasa tubuh, dan mesej yang jelas dan aktiviti simulasi untuk meningkatkan kemahiran komunikasi. Peserta memahami teknik komunikasi yang efektif dan  dapat membangunkan keyakinan diri ketika berkomunikasi.

Menurut Penasihat Program, Nor Hayati Aziz dengan penerapan nilai-nilai ini, UPSI dapat menghasilkan individu yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga menjadi contoh teladan dalam kepimpinan dan kehidupan bermasyarakat, katanya lagi pada pada masa akan datang kita akan dapat melahirkan individu yang mampu menjadi pemimpin dengan visi yang jelas, fokus kepada kebaikan ummah, dan menjadikan Al-Quran serta sunnah sebagai panduan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr Sakinah Salleh mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua fasilitator yang terlibat dalam njayakan program Peringkat ke-2 Ulul Albab dengan harapan peserta berupaya menjaga adab dan tata bicara yang mencerminkan nilai keislaman dalam komunikasi, baik secara lisan mahupun penulisan serta mampu memimpin dengan berlandaskan ajaran Islam, menampilkan sifat-sifat seperti amanah, adil, dan bertanggungjawab.