Oleh: Ain Nurathirah Muhammed Kusairi
Tanjong Malim, 27 November 2024 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sidang 2024/2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Inspirasi Varsiti: Mimpi Menjadi Nyata dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut Pengarah Program merangkap Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Aminurrashid, Iqqwan Jasman Su Azlan Su, program ini diadakan dengan tujuan untuk menarik minat pelajar menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Seramai 48 orang pelajar terdiri daripada dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kalumpang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari telah turut serta bagi menjayakan program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Program ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang kehidupan universiti juga membuka ruang kepada mereka untuk mengetahui dan memahami syarat-syarat kemasukan ke universiti serta program yang ditawarkan.
Intipati program ini memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman meneroka suasana pembelajaran di universiti melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang menarik.
Selain itu, program ini berperanan melahirkan pemimpin muda masa depan negara yang mempunyai kualiti keilmuan, keterampilan, kompetensi akademik, keteguhan dimensi moral dan berwatak glokal.
Sehubungan dengan itu, pelbagai aktiviti berasaskan dari aspek kepimpinan, pengurusan masa, komunikasi serta pemikiran kritis telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung.
Aktiviti yang bermatlamat ini telah membantu pelajar memperolehi pengetahuan dalam usaha mencapai kecemerlangan.