Oleh: WAN ABU DZAR MIHAMAD ASRI

Tanjong Malim, 27 November 2024- Kelab Al-Mursyidin berjaya menganjurkan program “Santai Bicara Antara Sukan dan Ibadah: Bagaimana Beriadah Memenuhi Syariat” secara dalam talian melalui platform Facebook Live.

Program ini berlangsung pada 27 November 2024, bermula jam 9.00 malam, dengan sambutan sangat meriah daripada mahasiswa.

Program yang diketuai oleh Pengarah Program, Wan Abu Dzar, ini menampilkan panel jemputan istimewa Penolong Pengarah Yadim Terengganu, Ustaz Ali Azfar.

Beliau berkongsi pandangan tentang bagaimana sukan boleh menjadi sebahagian daripada ibadah jika dilakukan dengan niat yang benar dan berpandukan syariat Islam.

Dalam sesi ceramah, Ustaz Ali Azfar menekankan pentingnya mengintegrasikan ibadah dan gaya hidup aktif, khususnya melalui sukan.

Beliau turut menjelaskan tentang batas-batas syariat yang perlu dijaga ketika bersukan, seperti etika berpakaian, menjaga aurat, dan memastikan aktiviti tersebut tidak melalaikan kewajipan ibadah.

Selain itu, beliau turut berkongsi amalan sunnah berkaitan riadah, seperti menjaga kesederhanaan dan memastikan sukan menjadi jalan untuk memperkuat ukhuwah serta kesihatan fizikal dan rohani.

Program ini mendapat perhatian besar, dengan ratusan penonton menyertai sesi secara langsung dan aktif mengajukan soalan kepada panel jemputan melalui ruangan komen.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk cara menguruskan waktu untuk bersukan tanpa mengabaikan kewajipan solat dan panduan memilih aktiviti sukan yang sesuai untuk umat Islam.

Program “Santai Bicara Antara Sukan dan Ibadah” berakhir dengan mesej yang jelas bahawa sukan bukan sekadar aktiviti jasmani tetapi juga boleh menjadi medan memperkukuh iman dan takwa.

Pengarah program, Wan Abu Dzar, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berharap program seperti ini dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

Acara ini menjadi bukti bahawa dakwah dapat disampaikan melalui pelbagai medium, termasuk dalam aspek kehidupan seharian seperti sukan.

Moga mesej yang disampaikan terus menginspirasi ramai untuk menjalani kehidupan yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi.