Oleh: Dr. Sabarina Shafie, Dr. Rawdah Adawiyah Tarmizi dan Tengku Nur Wani Hayani Tengku Osman

Tanjong Malim, 11 Disember 2024 – Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) dan Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program lawatan sambil belajar ke UPSI bersama guru dan pelajar daripada SMK Kepong Baru pada 11 Disember 2024.

Sesi bergambar bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSM, guru dan murid-murid SMK Kepong Baru

Program yang dinamakan sebagai program Jom Teroka UPSI ft. PMMU, menerima rombongan daripada SMK Kepong Baru melibatkan seramai 6 guru pengiring dan 86 murid Tingkatan 2 seawal jam 8.45 pagi bertempat di Blok 3, Fakulti Sains dan Matematik.

Sesi pembelajaran di Smart Classroom bersama fasilitator PMMU

Melalui program ini, murid diberi peluang melawat pelbagai fasiliti moden dan persekitaran pembelajaran yang disediakan untuk mahasiswa/i di dalam Kampus Sultan Azlan Shah dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Demonstrasi pembuatan radas di Bengkel Tiub Kaca oleh Encik Ahmad Isa Hamizi

Pengalaman ini diharapkan dapat memupuk rasa teruja dan menanam cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi kelak.

Program bermula dengan slot perasmian yang telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSM iaitu Dr. Mohd Ikhwan Hadi Yaacob dan diikuti dengan sesi penyampaian cenderahati.

Lawatan di Muzium Pendidikan Nasional
Penerangan oleh Pn. Normaizatul Akmam Awang di lobi Perpustakaan Tuanku Bainun

Slot kedua merupakan slot pengenalan tentang Fakulti Sains dan Matematik dan aktiviti bersama PMMU di bawah kendalian 20 fasilitator PMMU; diketuai oleh Mohammad Ezlan Dzaqwan Masiran’.

Seterusnya, slot ketiga melibatkan lawatan dan aktiviti interaktif ke Smart Classroom dan Bengkel Tiub Kaca. Slot akhir berlangsung di sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di mana murid dan guru telah dibawa melawat Muzium Pendidikan Nasional dan Perpustakaan Tuanku Bainun.

Melalui program ini, murid dapat melihat sendiri suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi, sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk terus mengejar cita-cita dalam bidang akademik. Program tamat pada pukul 5.00 petang.

Sesi bergambar bersama guru dan murid-murid SMK Kepong Baru

Di samping memberi pendedahan kepada murid, program ini juga membantu dalam membina jalinan kerjasama di antara pihak SMK Kepong Baru dan Fakulti Sains dan Matematik.

Menurut wakil guru pengiring, En. Muhamad Siham Ab Rahim dan Pn. Shazilawani Ab Ghani, pihak sekolah amat berterima kasih atas ruang dan peluang yang diberikan dan berharap pengalaman murid sepanjang program ini membantu membina keyakinan dan motivasi yang lebih positif dalam pembelajaran.