Oleh:Liew En Xin, Profesor Madya Dr Syakirah Samsudin dan Dr Nur Izwani Mohd

Padang, Indonesia, 26 November 2024 – Kolaborasi antara 23 orang mahasiswa/i dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan 29 orang mahasiswa/i dari Universitas Negeri Padang (UNP) berjaya menganjurkan program SULAM Antarabangsa yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang Human Papillomavirus (HPV) dan kanser serviks dalam kalangan remaja di Padang, Indonesia berdasarkan analisis kehendak kepada komuniti yang telah dijalankan lebih sebulan lalu.

Program ini berlangsung di Sekolah Menengah Atas Negeri 10 Padang (SMANTEN) dengan melibatkan 40 pelajar Tingkatan 10 berumur 16 tahun.

Para pelajar SMANTEN sedang menjalani sesi pembelajaran melalui pendekatan main peranan tentang HPV.

Kursus-kursus yang terlibat dalam program tersebut adalah Fisiologi Haiwan (UPSI), Genetik Manusia (UNP) dan Mikrobiologi Perubatan (UNP).

Pensyarah-pensyarah kursus ini masing-masing adalah Prof. Madya Dr Syakirah Samsudin, Dr Dwihilda Puteri dan Ibu Afifatul Akhyar.

Program ini masing-masing diketuai oleh Fatih Nurul Aini dan Farah Aqilah sebagai inisiatif terhadap statistik yang membimbangkan mengenai HPV dan kanser serviks di Indonesia.

Dalam program HPV, tayangan video pendidikan ringkas yang memperkenalkan HPV, penularannya, risiko kesihatan, dan langkah pencegahan telah dipertontonkan.

Video yang mengaplikasi pendekatan visual menarik dan bahasa yang mudah difahami bagi membantu pelajar membina asas pengetahuan tentang virus tersebut.

Pelbagai aktiviti pembelajaran telah diaplikasikan supaya para pelajar dapat belajar tentang HPV dalam suasana menyeronokkan dan menarik.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah  pembelajaran melalui main peranan bagi membetulkan mitos dan menekankan kepentingan vaksinasi, menjalankan eksperimen ringkas sebagai analogi bagi memahami kesan HPV terhadap tubuh manusia, dan diselitkan aktiviti energizer untuk menyegarkan semangat mereka.

Pelajar sedang membuat kesimpulan mengenai pembelajaran mereka mengenai HPV.

Dalam sesi kanser serviks pula, mahasiswa/i dari UPSI dan UNP menyedarkan komuniti tentang  peranan HPV dalam menyebabkan kanser serviks.

Tayangan sketsa pendek dan sesi soal jawab turut diselitkan untuk menggalakkan pelajar bertanya dan memahami lebih mendalam tentang kanser serviks.

Permainan CEVIQ yang menyerupai BINGO telah diinovasi bagi memaksimumkan penglibatan dan penumpuan pelajar SMANTEN dengan aktiviti SULAM yang telah dilaksanakan sejak pagi.

Soalan-soalan dibina untuk menguji kefahaman pelajar berkaitan simptom, pencegahan dan rawatan kanser serviks.

Aktiviti “Energy Burst & Brain Buzz” menggabungkan permainan fizikal dan kuiz yang merangsang daya ingatan serta kefahaman pelajar.

Pelajar sedang melibatkan diri dalam permainan CEVIQ.

Sesi ini menyaksikan para pelajar bersaing sengit untuk meraih markah yang lebih tinggi dengan menjawab soalan dengan tepat dan pantas.

Kemeriahan suasana pertandingan ini menambah semangat mereka untuk terus aktif dan berfikir dengan cepat, menjadikan sesi ini sebagai salah satu detik yang paling menyeronokkan dalam program tersebut.

Di penghujung program, ujian pos telah diberikan kepada 40 peserta dan hasil tersebut akan dibandingkan dengan ujian pra untuk menguji perubahan tahap kefahaman.

Selain itu, peserta diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan memberi maklum balas melalui Exit Ticket yang diberikan. Ramai peserta melukis muka senyum pada Exit Ticket dan menyatakan mereka gembira dengan program ini.

Pelajar sedang melontar bola permainan ke dalam cawan kertas untuk mendapatkan peluang menjawab soalan.

Malah, ada pelajar yang bertanya sama ada program ini akan diadakan lagi pada masa hadapan kerana ingin mengajak  rakan-rakan mereka untuk turut menyertai program seperti ini.

Selain daripada aktiviti-aktiviti yang menarik, pameran tentang HPV dan Kanser Serviks juga turut disediakan dan telah dikunjungi oleh lebih 60 orang warga SMATEN.

Ramai pelajar mengakui bahawa mereka kini lebih sedar tentang pentingnya menjaga kesihatan reproduktif dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.

Ini menjadi bukti bahawa pendidikan mampu memainkan peranan penting dalam memberikan kesedaran kepada isu kesihatan awam yang penting.

Hijratul, fasilitator dari UNP berpendapat, “Saya sangat suka dengan projek SULAM ini karena bisa berinteraksi dengan orang di luar kampus apalagi di luar negara, program ini wajar dilakukan untuk menambah relasi kita sebagai mahasiswa, kebaikan kegiatan SULAM ini bisa mengenalkan bagaimana kegiatan kampus antar kampus yg sebelumnya kita belum ketahui bagaimana saja kegiatan kampus di luar sana, saya sangat suka dengan projek SULAM antar negara ini.”

Selain itu, fasilitator dari UPSI, Fatih, berpendapat bahawa program SULAM ini adalah salah satu inisiatif penting dalam meningkatkan kesedaran dan pencegahan kanser servik dalam kalangan wanita terutama di Indonesia.

Menurutnya lagi, melalui program ini, peserta diberikan maklumat mengenai faktor risiko, simptom dan langkah-langkah pencegahan yang diambil.

Melalui pendekatan pendidikan dan sokongan yang diberi, SULAM berpotensi meningkatkan kesedaran dan kesihatan wanita di komuniti dan secara tidak langsung dapat menyelamatkan nyawa.

Diharapkan melalui program SULAM ini dapat mengurangkan kadar kejadian kanser servik dalam kalangan remaja di sana.

Menurut Prof. Madya Dr Syakirah, kerjasama antara UPSI dan UNP melalui kursus Fisiologi Haiwan yang telah berjalan setiap semester sejak tiga semester lalu secara dalam talian dan secara hibrid pada semester ini telah memberikan satu pengalaman pembelajaran autentik di luar bilik darjah kepada mahasiswa/i kedua-dua Universiti.

Selain itu pada kali ini, para mahasiswa/i dapat berkolaborasi dengan baik dan dapat menyesuaikan diri dengan cepat untuk merealisasikan program SULAM Antarabangsa ini.

Beliau turut menambah, program ini dapat mengasah kemahiran-kemahiran abad ke-21 dan memiliki ciri-ciri pembelajaran transformatif untuk melatih mahasiswa/i untuk menghadapi masa depan yang mencabar.

Program SULAM Antarabangsa ini adalah satu daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran imersif yang menyaksikan penglibatan optimum  dalam kalangan mahasiswa/i dari kedua-dua Universiti.

Selain itu, program SULAM yang dijalankan oleh mahasiswa/i kursus Insan Guru Profesional dan kursus Microteaching juga dijalankan pada masa yang sama.

Secara keseluruhannya, seramai 80 orang pelajar SMATEN, 47 mahasiswa/i UPSI, 67 mahasiswa/i UNP serta lebih daripada 100 pengunjung turut terlibat dalam program SULAM tersebut.