Oleh: Mohd Zulhakim Mohd Azmi , Syura Alia Thasa Suib, Mahzuz Irfan Asmad
Tanjong Malim, 7 Disember 2024 – Guru-guru Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, Klang dengan kerjasama Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB) mengadakan Program lawatan kembara ilmu pelajar darjah enam ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bertujuan untuk memberi pendedahan lebih mendalam mengenai dunia pendidikan tinggi.
Lawatan ini turut melibatkan kunjungan ke beberapa tempat bersejarah dan pendidikan penting di dalam kampus UPSI, antaranya Perpustakaan Tuanku Bainun dan Muzium Pendidikan Nasional UPSI.

Seramai 38 ahli jawatankuasa Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB) UPSI terlibat dalam penganjuran program ini. Mereka bertanggungjawab dalam memastikan kelancaran perjalanan lawatan yang dimulakan dengan taklimat mengenai sejarah dan pencapaian UPSI.
Program ini diadakan bagi memberi inspirasi kepada pelajar tentang kepentingan pendidikan serta peluang melanjutkan pengajian di universiti.
Di dalam lawatan ini, para peserta berpeluang mengunjungi Perpustakaan Tuanku Bainun, yang merupakan pusat rujukan utama bagi pelajar UPSI.

Mereka juga dibawa melawat ke Muzium Pendidikan Nasional UPSI yang menyimpan pelbagai artifak sejarah pendidikan negara.
Selain itu, lawatan diteruskan dengan kunjungan ke Arena UPSI, sebuah fasiliti sukan yang memfokuskan pada pembangunan aktiviti sukan dan rekreasi di kalangan mahasiswa.

Sewaktu Majlis Perasmian Penutupan yang dirasmikan oleh Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Encik Zulkifli bin Mamat.
Beliau berharap agar selepas ini terdapat banyak lagi yang dapat dilakukan antara pihak Kolej Aminuddin baki dengan Sekolah Kebangsaan Sungai Udang kerana program seperti ini dapat memberikan rangsangan kepada pelajar untuk lebih bersemangat dalam mengejar cita-cita mereka serta memberikan mereka gambaran yang jelas tentang kehidupan sebagai seorang mahasiswa.
Pengetua Kolej Aminuddin Baki dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai turut menandatangani Jaringan dan Jalinan hubungan antara kedua-dua pihak itu.

Diharapkan program kembara ilmu ini dapat menjadi pencetus semangat bagi pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.
