Oleh: Kamalia Izzati Ahmad Rahimi, Abdul Azim Kasri & Ummikalsum Mat Lazim

Tanjong Malim, 09 November 2024- Barisan kepimpinan Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI dengan jayanya telah mengadakan Town Hall PTQ bertempat di E-learning 5, KSAJS. Program ini telah dirasmikan oleh Ummikalsum Mat Lazim selaku Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat. Program ini telah dihadiri oleh 100 orang ahli Persatuan Tahfiz Qiraat yang terdiri daripada semester 1 hingga 7. Tujuan utama program ini diadakan adalah bagi mengetahui perancangan penuh program PTQ di samping memberi dan membuka peluang kepada ahli PTQ untuk mengemukakan cadangan dan penambahbaikan program-program yang bakal dijalankan oleh Persatuan Tahfiz Qiraat sepanjang sidang 2024/2025.

Dalam ucapan perasmiannya, Ummikalsum menekankan betapa pentingnya penglibatan mahasiswa dalam membentuk hala tuju pendidikan tahfiz di peringkat universiti. Program ini adalah platform terbaik untuk ahli persatuan untuk bersama-sama mengenal pasti isu yang dihadapi oleh pelajar sekaligus mencari penyelesaian yang bersifat kolektif.

Yang Dipertua Persatuan Tahfiz Qiraat, Abdul Azim Kasri selaku turut membentangkan program-program yang bakal dijalankan oleh Persatuan Tahfiz Qiraat sepanjang satu tahun memegang tampuk kepimpinan.

Pengarah program iaitu Kamalia Izzati Ahmad Rahimi juga ada menyatakan dalam ucapannya, “Semoga program ini menjadi platform yang efektif untuk mahasiswa menyuarakan pandangan, idea dan cadangan dengan penuh keterbukaan sekaligus membina ruang perbincangan yang konstruktif antara pelajar, pensyarah dan pihak pengurusan”.

Melalui dialog yang dijalankan, diharapkan segala isu yang dihadapi oleh mahasiswa tahfiz dan qiraat dapat dikenal pasti dengan lebih mendalam serta penyelesaian yang praktikal dapat dirumus bersama. Ini bukan sahaja akan meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar tetapi juga membantu memperkukuhkan hala tuju bidang tahfiz dan qiraat di universiti agar ia terus relevan dan berkualiti dalam menghadapi cabaran semasa.