Oleh: Muhammad Aidil Arfan Othman dan Muhammad Farhan Linggi Muhamad Aswad Linggi
Tanjong Malim, 15 Disember 2024 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Blok Kediaman 5 telah mengadakan program Fitness Warrior Havoc yang bertujuan untuk memberikan kesedaran serta pendedahan yang lebih mendalam kepada para penghuni tentang kepentingan penjagaan kesihatan.
Pelaksanaan program ini tidak hanya tertumpu kepada penghuni kediaman blok 5 KHAR sahaja, namun terbuka kepada semua penghuni kolej Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini juga bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja aktif dalam bidang akademik semata-mata, namun turut bergiat aktif dalam bersukan yang selari dengan dasar pendidikan Malaysia, ‘Badan Cergas, Otak Cerdas’.

Program ini pada awalnya dimulai dengan ucapan perasmian daripada pengarah program, saudara Hafizuddin Bin Mohd Zaki.
“Pelaksanaan program ini bertujuan memperluaskan kesedaran mengenai kepentingan aktiviti fizikal dan penjagaan kesihatan yang teratur dalam kalangan penghuni di kolej kediaman.
“Menerusi program ini juga dapat menerangkan cara pergerakan yang betul ketika melakukan sesuatu bentuk senaman bagi mengelakkan kecederaan yang boleh berlaku.
“Dengan melakukan aktiviti fizikal ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan ketahanan fizikal penghuni kolej dan dalam masa yang sama dapat membentuk disiplin yang konsisten”, ujar beliau.

Pengarah program menyatakan bahawa pentingnya untuk kita cakna akan kepentingan penjagaan kesihatan yang betul. Beliau juga berharap agar program ini dapat memberi keseronokan dan pengalaman yang lebih banyak kepada semua peserta.
Selain itu, program ini tidak hanya berfokuskan kepada perkongsian ilmu sahaja, peserta juga didedahkan dengan aktiviti-aktivi sukan yang lain.
Antaranya ialah push-up, sit-up, squat, dan plank. Aktiviti-aktiviti ini dipilih kerana ia dianggap sebagai aktiviti asas yang mudah dan fleksibel untuk dilakukan di mana-mana.
Para penghuni kolej juga dilihat sangat tertarik dan produktif sewaktu pelaksanaan aktiviti dilakukan. Hal ini mungkin disebabkan oleh mereka telah mengetahui serta memahami cara yang tepat untuk melakukan aktiviti tersebut.

Di akhir program, Felo blok kediaman 5 KHAR, Encik Mohd Izzat Abdul Rahman menyatakan bahawa beliau berharap agar para penghuni kolej dapat menjadikan amalan kecergasan sebagai sebahagian daripada rutin harian walaupun setelah berakhirnya program.
Baginya, kepentingan menjaga kesihatan ini adalah sama pentingnya dengan menuntut ilmu, jadi ia haruslah seimbang dan bergerak seiring.
Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah pula mengharapkan agar program-program sebegini dapat terus diadakan bagi memastikan penghuni Kolej Harun Aminurrashid kekal aktif dan sihat agar menjamin kehidupan yang berkualiti di samping menjadikan sebuah komuniti yang saling menjaga satu sama lain demi mencapai kesejahteraan bersama.
