Oleh: Serena Anak Tony
Tanjong Malim, 15 Disember 2024- Bersamaan hari Ahad, Kelab Pencinta Haiwan (KPH) telah menganjurkan satu program istimewa bertajuk Movie Night With KPH yang mempersembahkan tayangan filem penuh inspirasi, Hachi: A Dog’s Tale.
Program ini bertempat di Dewan Kuliah Pusat 8 (DKP 8) Kampus Sultan Azlan Shah dan program ini berjaya menarik minat pelajar UPSI untuk datang 1. Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kasih sayang, kesetiaan, dan pentingnya hubungan harmoni antara manusia dengan haiwan peliharaan.

Jualan yang dianjurkan menawarkan makanan ringan dan minuman kepada peserta. Pelbagai pilihan snek serta minuman seperti air kotak telah disediakan bagi memenuhi selera peserta.
Aktiviti jualan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengumpul dana, tetapi juga memberikan peluang kepada para peserta untuk untuk menyokong inisiatif kebajikan kelab melalui jualan yang diadakan.
Hasil daripada jualan ini akan disimpan dalam tabung kelab dan akan digunakan untuk pelbagai aktiviti kebajikan haiwan pada masa hadapan. Dengan inisiatif ini, KPH berharap dapat memberi sumbangan bermakna kepada haiwan-haiwan yang memerlukan perhatian dan perlindungan.

Aktiviti ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran peserta tentang pentingnya menyokong usaha membantu haiwan melalui tindakan kecil seperti membeli barangan daripada jualan amal.
Kuiz interaktif pula diadakan selepas tayangan filem bagi menguji pemahaman peserta terhadap mesej yang disampaikan dalam Hachi: A Dog’s Tale.


Soalan-soalan yang diajukan merangkumi tema kasih sayang, kesetiaan, dan tanggungjawab terhadap haiwan. Pemenang kuiz diberi ganjaran iaitu dapat menyertai program tayangan filem pada bulan hadapan yang dianjurkan oleh KPH bersama barisan ahli dan warga UPSI.

Program Movie Night dengan tema “KPH” diadakan sebagai salah satu inisiatif oleh Kelab Pencinta Haiwan (KPH) untuk menggalakkan sikap belas kasihan terhadap haiwan, meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab terhadap haiwan, dan juga untuk mengumpul dana bagi aktiviti kelab tersebut.
Dalam dunia moden ini, hubungan antara manusia dan haiwan sering kali dipandang rendah atau kurang diberi perhatian, walhal haiwan, khususnya haiwan peliharaan, memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian manusia.


Program ini bertujuan untuk memupuk nilai kasih sayang dan kesetiaan dalam kalangan pelajar UPSI. Seperti yang ditonjolkan dalam filem, hubungan yang erat antara Hachi dan tuannya tidak hanya mencerminkan kesetiaan seekor haiwan, tetapi juga menyerlahkan nilai kasih sayang yang tidak mengenal batasan.
Dengan menonton filem ini, peserta diharap dapat mengambil pengajaran bahawa kasih sayang terhadap haiwan bukan sahaja menunjukkan nilai kemanusiaan tetapi juga membantu membina masyarakat yang lebih penyayang dan prihatin.
Selain itu, program ini diadakan untuk mengumpul dana bagi kelab. Hasil daripada jualan amal yang diadakan akan dimasukkan ke dalam tabung kelab dan digunakan untuk membantu haiwan yang memerlukan, termasuk menyediakan makanan, ubat-ubatan, dan perlindungan kepada haiwan terbiar di sekitar UPSI.
