Oleh : Syaidatul Khairani

TANJONG MALIM, 11 Januari 2025 – Exco Ekonomi dan Keusahawanan (EDK) Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menganjurkan program berelemenkan keusahawanan dan kebudayaan yang berkonsepkan bengkel kemahiran dan pertandingan solekan.

Program Beauty Artistry ini dianjurkan bagi memperkasakan bakat solekan mahasiswi UPSI selain menyerlahkan kreativiti mereka dalam industri kecantikan.

Program ini telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Seminar Fakulti Sains dan Matematik, Kampus Sultan Azlan Shah.

Dengan kerjasama utama iaitu salah sebuah syarikat kosmetik di Malaysia dikenali Fazsfaouzi Beaute HQ dan juga beberapa rakan kolaborasi iaitu Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI serta Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) UPSI, program ini berjaya menarik seramai 50 orang mahasiswi UPSI dan juga komuniti Tanjung Malim sebagai peserta program.

Panel jemputan iaitu seorang usahawan kosmetik Norfazlina Mohd Faozi, yang merupakan Pengasas utama Fazsfaozi Beaute, beliau merupakan seorang Profesional Makeup Artist yang telah menjuarai Pencarian Nona Superwoman pada tahun 2021, turut berkongsi kepakaran beliau melalui slot Tutorial solekan.

Melalui penganjuran ini, para peserta diberikan pendedahan mendalam terhadap pelbagai teknik solekan, termasuk teknik penyediaan kulit, teknik aplikasi foundation, teknik setting dan beberapa lagi.

Cogan kata iaitu Transform, Compete, Shine! mencerminkan misi untuk membantu mahasiswi menggilap potensi mereka, bersaing dengan kreatif dan bersinar dalam industri kecantikan.

Sesi tutorial bersama Fazsfaozi Beaute HQ
Sesi tutorial bersama Fazsfaozi Beaute HQ

Program Beauty Artisy Battle ini telah dirasmikan oleh Puan Norrulkamari Daud yang merupakan felo penasihat bagi program ini.

Dalam ucapannya, beliau mengharapkan segala ilmu yang diperolehi dan ditimba oleh peserta dalam program ini dapat dijadikan sebagai nilai tambah khususnya mahasiswi UPSI dalam mengasah kemahiran dalam bidang solekan bahkan juga mampu menjadi salah satu bidang kerjaya yang bukan semua orang ada bakat dan kemahiran istimewa sebegini, tetapi mampu menyerlahkan potensi diri ke peringkat yang lebih tinggi.

Ucapan Felo Penasihat

Pengarah program pula, Afrina Wafa Abdul Wahhib, dalam ucapannya mengucapkan sepenuh penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dengan dengan baik secara langsung atau tidak langsung.

Hakikatnya, Program Beauty Artistry Battle merupakan platform kepada para wanita meningkatkan kemahiran dalam bidang solekan dan membuka ruang serta peluang dalam menceburi dunia perniagaan industri kecantikan.

Selain itu, program ini juga turut memupuk kemahiran insaniah seperti menjalin hubungan yang baik dan membentuk personaliti yang lebih menarik sesuai dengan Tagline Transform, Compete, Shine.

Dengan harapan, semoga program ini dapat memberi aspirasi kepada lebih ramai mahasiswi untuk terus menggali potensi diri dalam bidang kecantikan dan keusahawanan ini.

Ucapan Pengarah Program
Sesi Beauty Artistry Battle

Program berakhir pada jam 2.00 petang dengan sesi penyampaian hadiah kepada tiga pemenang terbaik yang berjaya menyerlahkan kreativiti dan kemahiran mereka dalam solekan.

Peserta yang menang top 3

Pemenang telah menerima wang tunai, plak dan sijil penghargaan manakala semua peserta mendapat Face Pallete sebagai penghargaan daripada pihak penaja Fazsfaouzi Beaute HQ.

Kejayaan program ini mencerminkan inisiatif Kolej KHAR, UPSI dalam menyediakan mahasiswi untuk mengembangkan bakat semula jadi, lebih berdaya saing dan berinovasi dalam dunia kecantikan. Terima kasih kepada semua !