oleh: Muhammad Zu Shimalain Azizul

Tanjung Malim, 26 Februari 2024 – Satu majlis perasmian penutupan pameran bertajuk ISE: Inspiring Souls Exhibition, telah diadakan di Galeri Seni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh seorang pengarah filem tersohor di Malaysia, Dr. U-Wei Haji Saari, tepat pada pukul 4.30 petang.

Pameran ISE: Inspiring Souls Exhibition yang telah berlangsung pada 15 Januari hingga 26 Februari 2025 ini merupakan satu inisiatif Institut Peradaban Melayu (IPM) dengan kerjasama Alumni ITM Seni & Rekabentuk Batch 1994-1997.

Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said menyampaikan ucapan alu-aluan.

Program ini diadakan sebagai satu penghormatan dan tribute kepada arwah Roslizam @ISE yang merupakan alumni ITM dan penggiat dalam bidang seni halus.

Melalui pameran ini, pengunjung berpeluang melihat pelbagai karya seni yang menonjolkan transformasi peranan alumni ITM dalam bidang pendidikan dan seni sepanjang tempoh 30 tahun mereka berkecimpung dalam industri ini.

Dr. U-Wei Haji Saari menyampaikan ucapan perasmian beliau.

Pameran ini juga menampilkan sumbangan karya daripada seramai 10 orang pempamer yang telah menyumbangkan hasil seni mereka kepada Institut Peradaban Melayu untuk dimanfaatkan sebagai bahan penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran di UPSI.

Dr. U-Wei Haji Saari menyempurnakan gimik perasmian

Karya-karya yang disumbangkan tersebut mempunyai nilai keseluruhan lebih daripada RM50,000.00, membuktikan penghargaan tinggi terhadap seni dan pendidikan dalam kalangan penggiat seni tanah air.

Majlis ini bukan sahaja memperkukuh jaringan antara akademia dan penggiat seni, tetapi juga mengukuhkan peranan UPSI sebagai institusi yang terus menyemarakkan seni dan budaya dalam sistem pendidikan negara.

Dr. U-Wei Haji Saari bergambar beramai-ramai bersama pengkarya yang terlibat dalam menjayakan pameran ini.

Dengan adanya pameran seperti ini, diharapkan lebih banyak inisiatif seni dapat diteruskan untuk generasi akan datang.