Oleh: Zainun Mustafa
Pakistan, 25 Februari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah di Asia Selatan menyumbang sebagai penceramah utama di International Conference on Educational Research & Assessment (ICERA-2025) yang julung kali diadakan pada 24 dan 25 Februari 2025.
Persidangan ini dianjurkan oleh Jabatan Penyelidikan dan Penilaian Pendidikan, University of Okara, Pakistan, dan dipengerusikan sendiri oleh Naib Canselor University of Okara, Prof. Dr. Sajjad Mubin dan Dr. Muhammad Tahir Khan Farooqi selaku ketua sekretariat persidangan.
Persidangan julung kali ini menghimpunkan tokoh akademik terkemuka negara Pakistan seperti mantan Naib Canselor Universiti Pendidikan Lahore, Prof. Dr. Munawar Sultana Mirza; Pro-Naib Canselor Universiti Punjab Lahore, Prof. Khalid Mahmood, Naib Canselor Universiti Kohat, Prof. Dr. Naseer Ud Din dan Pengarah Kampus RYK, IUB, Prof. Dr. Hafiz M. Ather Khan.

Penyertaan penyelidik antarabangsa turut memperkayakan sesi pembentangan dan perbincangan sepanjang persidangan.
Dalam ucaptama beliau, Dr. Zainun Mustafa dari Fakulti Sains dan Matematik, UPSI telah berkongsi refleksi mengenai pengaruh sejarah dalam membentuk sistem kurikulum dan penilaian pendidikan di Asia Tenggara khususnya dalam bidang pendidikan sains, berdasarkan penyelidikan terdahulu bersama pasukannya.
Pembentangan ini turut memberikan gambaran tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Malaysia serta membawa peserta persidangan dalam lawatan maya ke kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris, sebagai salah satu institusi pendidikan guru tertua di Malaysia.
Persidangan ini menekankan kepentingan mempromosikan pendidikan berkualiti, inklusif, dan saksama sebagai asas membina masyarakat berilmu.
Inisiatif University of Okara dalam menawarkan pendidikan percuma kepada anak-anak yatim tempatan mendapat pujian kerana membantu merapatkan jurang pendidikan.
Komitmen dan semangat kolaborasi yang ditunjukkan oleh pemimpin pendidikan tinggi dalam membina dialog rentas sempadan menjadi antara detik bermakna persidangan ini.

Persidangan ini mendapat liputan meluas dalam lima siaran berita televisyen dan lebih 40 akhbar tempatan dalam Bahasa Inggeris dan Urdu.
Persidangan ini membuktikan bahawa tindakan kolektif dan dialog rentas sempadan mampu membuka jalan ke arah transformasi amalan pendidikan global, selaras dengan usaha keterlihatan UPSI diperingkat Asia Selatan dan antarabangsa.
