Oleh: Cik Afifah Adriana Aznan
Tanjong Malim, 20 Mac – Sebanyak 120 pek bubur lambuk telah berjaya diagihkan kepada komuniti di Kampung Sungai Dara menerusi Program Bubur Lambuk UCTC Bersama Komuniti HELWA Masjid Jamek, Kg. Sungai Dara.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama komuniti Hal Ehwal Wanita (HELWA) Masjid Jamek, Kg. Sungai Dara bergotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk sebagai salah satu inisiatif dalam menyemarakkan bulan Ramadan.


Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata selain berkongsi rezeki lebih berkat di bulan Ramadan, kami menjadikan penyediaan bubur lambuk ini sebagai salah-satu bentuk aktiviti ibadah dalam mengimarahkan keberkatan Ramadan dan diharapkan program ini akan dapat merapatkan kerjasama antara universiti dan masyarakat.



“Seiring dengan semangat Ramadan, pengagihan bubur lambuk ini juga memberi makna lebih mendalam dalam mengeratkan silaturrahim dan menggalakkan sifat prihatin kepada masyarakat”.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, program ini adalah sebahagian daripada komitmen universiti dalam menyokong dan memperkasa komuniti setempat, serta mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni dan inklusif.
“Ironinya, program ini bukan sahaja menyaksikan keberadaan UPSI kepada masyarakat setempat bahkan ia juga memupuk sifat bersedekah. Hal ini kerana Allah swt mengangkat darjat orang yang bersedekah lebih-lebih lagi dalam bulan ramadhan” ujarnya lagi.



“Sesungguhnya memberi makan orang yang berbuka besar ganjarannya seperti hadith Rasulullah saw. “Barangsiapa memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa maka baginya pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun” (Hadith riwayat Tirmidzi).”
