Oleh: Dr. Nor Asiah Mohamad @Razak, Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli, Dr. Suhazlan Suhaimi, Prof. Madya Dr. Suliana Sulaiman, ⁠⁠Prof. Madya Dr. Suzani Samuri, Prof. Madya Dr. Ramlah Mailok, Dr. Hishamuddin Abdul Rahman dan Bazli Razak

TANJONG MALIM, 14 April 2025– Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent, LoI) bersama Millat Umidi University, Uzbekistan bagi menjalin kerjasama dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), Kecerdasan Buatan (AI) dan Teknologi Hijau.

LoI tersebut merupakan inisiatif di bawah program EduGreen@UPSI yang diketuai oleh Dr. Nor Asiah Mohamad@Razak, bertujuan memperkukuh jaringan penyelidikan serta memperluas kolaborasi dalam kalangan kumpulan minat khas (Special Interest Group, SIG) kedua-dua institusi.

Majlis menandatangani LoI itu turut dihadiri delegasi dari Uzbekistan yang terdiri daripada Prof. Yuldashev Mohammad Elyor dan Encik Mirazam Mirsolikhov.

Turut hadir mewakili UPSI ialah barisan pengurusan fakulti dan ahli EduGreen termasuk Prof. Madya Dr. Suzani, Prof. Madya Dr. Ramlah, Prof. Madya Dr. Suliana, Prof. Madya Dr. Shamsul Arieyya, Dr. Hishamuddin dan Dr. Suhazlan.

Menurut kenyataan FKMT, beberapa wakil SIG telah menyatakan komitmen awal untuk menjalin kerjasama strategik, termasuk Dr. Nor Asiah dari EduGreen@UPSI, Prof. Madya Dr. Shamsul Arieyya dari SIG Human-Centered Computing and Technology Development (HCCTD), dan Prof. Madya Dr. Suzani dari SIG Data Intelligence and Knowledge Management (DILIGENT).

Langkah seterusnya akan melibatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi dalam masa terdekat bagi memudahkan pelaksanaan projek kolaboratif dan pertukaran kepakaran.

Kerjasama ini dijangka dapat memperkukuh ekosistem inovasi dan penyelidikan rentas sempadan, selaras dengan agenda pemerkasaan pendidikan tinggi UPSI di peringkat global.