Oleh: Bazli Razak

TANJUNG MALIM, 16 April 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraikan pengamal media dan rakan strategik dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung meriah di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, malam tadi.

Majlis anjuran Bahagian Komunikasi Korporat UPSI itu turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff; Timbalan-timbalan Naib Canselor; dekan-dekan fakulti; ketua-ketua pusat tanggungjawab; serta wakil-wakil media dan agensi strategik.

Dalam ucapannya, Md Amin menyifatkan pengamal media dan rakan strategik sebagai individu penting yang menyumbang secara langsung kepada peningkatan nama baik UPSI di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Merekalah tulang belakang yang banyak membantu mengangkat nama UPSI. Terima kasih atas sokongan, jasa dan pengorbanan kalian kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff ketika menyampaikan ucapan aluan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Media dan Rakan Strategik UPSI 2025 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff serta barisan pengurusan universiti bergambar bersama wakil media dan rakan strategik yang hadir dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Media dan Rakan Strategik UPSI 2025 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Tambah beliau, UPSI amat bertuah kerana dikelilingi oleh sahabat media yang sentiasa bersama dalam menyampaikan berita dan laporan mengenai pelbagai program serta pencapaian UPSI kepada masyarakat umum.

“Saya tidak pernah lupa bahawa media ialah sahabat perjuangan kita. Mereka membantu membawa suara dan wajah UPSI ke seluruh pelosok tanah air, bahkan ke luar negara. Inilah bukti nilai kepercayaan dan tanggungjawab yang dikongsi bersama.

Beliau juga menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian UPSI yang kini semakin dikenali bukan sahaja sebagai universiti pendidikan unggul, tetapi juga sebagai pusat pembangunan holistik pelbagai bidang.

“UPSI hari ini bukan lagi hanya sebuah institusi, tetapi sebuah jenama pendidikan yang diyakini. Ia adalah hasil kerja keras semua dari segenap warga universiti, rakan strategik dan tentunya media.

“Di UPSI, kami sentiasa menghargai dan meraikan sahabat media dan rakan-rakan strategik yang menjadikan UPSI sebuah universiti yang terkemuka.

Wakil-wakil engamal media dan rakan strategik serta pengurusan universiti yang hadir sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Media dan Rakan Strategik UPSI 2025 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah satu wakil pengamal media, Kita Reporters sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Media dan Rakan Strategik UPSI 2025 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Md Amin turut berkongsi perkembangan semasa universiti termasuk pembangunan kemudahan seperti UPSI Adventure Park, Scholar’s Suites, UPSI Sport City, kolam renang bertaraf Olimpik, Gelanggang Boling 24 lorong, Tasik Banjaran, dan UPSI Glamping Park yang bakal siap tidak lama lagi.

Tambah beliau, UPSI juga bakal memiliki Dewan Solar yang akan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 23 April ini.

“UPSI kini menjadi pilihan ramai selebriti tanah air untuk melanjutkan pengajian menerusi APEL, antaranya Datuk Nash dan terbaharu, Tomok.

Katanya, majlis seumpama ini dapat menjadi platform untuk memperkukuh hubungan strategik antara UPSI dan media dalam menjulang kecemerlangan universiti.

“Terima kasih atas segala kasih sayang yang diberikan kepada UPSI tercinta. Majlis ini bukan sekadar perayaan, tetapi lambang penghargaan tulus dari kami,” Ujar beliau.